Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Etiqa Family Takaful Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Pertubuhan Kebajikan Sahabat Urwah menyalurkan sumbangan hampir RM500,000 bagi menjayakan pelbagai program kebajikan sempena bulan puasa di seluruh Perlis sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Sebahagian daripada jumlah tersebut melibatkan sumbangan berjumlah RM95,000 yang disalurkan kepada beberapa rumah kebajikan serta rumah anak yatim di negeri ini dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid al-Amin Sempering, Jalan Santan, Kampung Keranji, di sini.

Menurut MAIPs, “Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Encik Zafri Ab Halim kepada wakil institusi kebajikan yang hadir.”

“Antara institusi yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Teratak Rahmah Persatuan al-Islah Perlis, Persatuan Anak Yatim Negeri Perlis, Rumah Anak Yatim Mak Teh, Rumah Kanak-kanak Arau, Rumah Warga Emas, Rumah Warga Emas Sejahtera, serta Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender,” kata MAIPs.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyempurnaan penyerahan sumbangan kepada wakil institusi kebajikan yang terlibat.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

MAIPs berkata, “Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak korporat bersama-sama dengan pertubuhan kebajikan bagi memperkukuh agenda tanggungjawab sosial.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini menyantuni golongan yang memerlukan di Perlis, khususnya anak yatim, warga emas dan golongan kurang berkemampuan,” jelas MAIPs.

“Sumbangan yang disalurkan diharapkan dapat membantu meringankan beban institusi kebajikan yang terlibat, di samping menyokong keperluan harian serta kesejahteraan para penghuni sepanjang Ramadan,” ujar MAIPs.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi