Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Perdana FSK 2026 yang berlangsung di Dewan Kuliah 3, UKM KL pada 13 Mac 2026 lalu.
Program ini diadakan bagi memupuk kecintaan terhadap al-Quran, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
Perasmian Majlis Khatam al-Quran tersebut disempurnakan oleh, Dekan FSK UKM, YBrs. Prof. Dr. Suzana Shahar.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan agar para peserta yang hadir terus mengamalkan tadarus al-Quran bukan sahaja pada peringkat fakulti, malah dalam kehidupan seharian.
“Amalan ini janganlah hanya diamalkan pada bulan Ramadan sahaja, sebaliknya diharapkan dapat diusahakan sepanjang tahun agar penghayatan terhadap al-Quran terus subur bagi membentuk sahsiah serta memperkukuh keimanan,” jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBrs. Dr. Mohd Shamsul Hakim Abd. Samad menyampaikan sesi perkongsian ceramahnya yang bertajuk “Apa Kuperolehi daripada Ramadan Kali Ini?”.
Dalam ceramah berkenaan, beliau menekankan bahawa bulan Ramadan seharusnya menjadi ruang untuk bermuhasabah diri dan bulan yang mulia ini juga merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan amalan ibadah, memperkukuh keimanan serta memperbaiki akhlak diri.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa kejayaan sebenar Ramadan bukan hanya diterjemahkan melalui amalan ibadah yang banyak dilakukan, sebaliknya kejayaan Ramadan dapat dilihat melalui perubahan positif yang terlihat pada detik pengakhiran Ramadan,” kata beliau.
“Oleh itu, marilah kita menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup yang berterusan dalam membentuk peribadi yang lebih baik,” ujar beliau lagi.

Program anjuran Jawatankuasa Kerohanian, Unit Kebajikan dan Kesejahteraan FSK ini merupakan satu daripada inisiatif fakulti dalam menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan melalui aktiviti keagamaan dan kerohanian.
Inisiatif ini berjaya menghimpunkan warga fakulti yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan serta pelajar dalam suasana penuh harmoni untuk bersama-sama mengimarahkan bulan suci ini.