Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 07:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 23 orang pelajar berserta tujuh orang tenaga pengajar Madrasah Tahfiz Nurul Hidayah di Kampung Pandan Dalam berpeluang merasai sendiri pengalaman istimewa melawat Menara Kuala Lumpur pada Rabu.

Program anjuran Menara Kuala Lumpur (MKL) dengan kerjasama syarikat bas pelancongan bandar, Hop On Hop Off (HOHO) itu merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua pihak bagi menyantuni warga tahfiz berkenaan.

Terdahulu, mereka mengelilingi ibu negara dengan menaiki bas dua tingkat terbuka HOHO dari madrasah sebelum dibawa meninjau ke beberapa tarikan utama di bangunan ikonik itu, termasuk Teres Udara (Sky Terrace), Kotak Kaca (Glass Box) dan Anjung Tinjau (Observation Deck).

Selain itu, para pelajar tersebut turut diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama-sama dengan pihak pengurusan serta kakitangan MKL dan HOHO di Sky Mega Hall, selain penyampaian duit raya dan cenderahati sebagai tanda penghargaan serta sokongan terhadap usaha pendidikan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MKL, YBrs. Encik Khairil Faizal Haji Othman, menyatakan bahawa kerjasama berterusan dengan HOHO mencerminkan komitmen kedua-dua pihak bagi memperkukuh ekosistem pelancongan bandar, di samping memberikan impak positif kepada komuniti.

Tambah beliau, sinergi antara MKL dengan HOHO bukan perkara baharu kerana kedua-dua pihak telah menjalinkan kerjasama strategik menerusi pelbagai inisiatif secara bersama, merangkumi promosi pelancongan dan program kemasyarakatan yang bermanfaat.

“Kami amat menghargai hubungan kerjasama yang lama terjalin ini.

“Menerusinya, pelbagai inisiatif berjaya dilaksanakan, termasuk program yang memberikan manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar,” ujar beliau.

Bagi Khairil Faizal, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen MKL yang berperanan sebagai sebuah mercu tanda negara yang bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan ikonik, malah menyumbang kepada aspek pembangunan sosial.

“Kami berharap pengalaman yang dilalui hari ini memberikan inspirasi dan kegembiraan kepada para pelajar Madrasah Tahfiz Nurul Hidayah.

“Pihak MKL komited untuk terus memperluas inisiatif CSR pada masa hadapan bagi menyantuni golongan pelajar serta masyarakat yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Majlis berbuka tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan MKL, YBrs. Puan Aemizureen Kamarudin.

Penganjurannya pada kali ini membawa makna yang besar kerana diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-30 KL Tower serta sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kredit Foto: Megat Firuz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi