Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Waqaf FELDA terus menyantuni warga kota menerusi pengagihan bubur lambuk kepada kira-kira 1000 orang di sekitar Bukit Bintang dalam Program Kongsi Rezeki Waqaf FELDA pada Khamis.
Inisiatif murni ini merupakan manifestasi komitmen pihak Waqaf FELDA untuk berkongsi rezeki kepada khalayak yang berada di kawasan tumpuan bandar sepanjang Ramadan.
Selain pengagihan bubur lambuk secara percuma, program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan jalanan (busking) berkonsepkan islamik oleh Afad Raihan dan kumpulan Caliph Buskers, serta pengisian rohani menerusi perkongsian ringkas Ramadan oleh Imam Muda Nazrul.

Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf FELDA, YBrs. Tuan Hisyam Ahmad berkata, program ini merupakan suatu pendekatan baharu dalam usaha menyantuni masyarakat bandar melalui pendekatan yang lebih santai dan dekat dengan komuniti.
Menurut beliau, pihak Waqaf FELDA sebelum ini melaksanakan program pengagihan pek makanan kepada golongan gelandangan secara konsisten di sekitar kawasan Chow Kit yang menyasarkan kira-kira 500 orang penerima pada setiap kali penganjurannya.
“Pada kali ini, kita membuka ruang perkongsian kepada segenap lapisan masyarakat yang berada di sekitar Bukit Bintang.
“Di samping berkongsi rezeki melalui agihan bubur lambuk, kita juga membawakan pengisian yang bermanfaat serta hiburan berunsur islamik yang santai kepada orang ramai,” katanya.
Penganjuran program tersebut dilihat dapat menyemarakkan lagi semangat berkongsi dan membawa mesej kebaikan kepada warga kota di tengah-tengah kesibukan bandar raya.
Sementara itu, Waqaf FELDA kekal komited untuk terus memperluas manfaat wakaf melalui pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan demi memberikan impak positif kepada seluruh lapisan masyarakat.
