Diterbitkan pada 11 Mac 2026, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Temu Seru Ramadan 1447 Hijrah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia dan Jakel yang berlangsung di Jakel Mall pada Selasa menyantuni sebanyak 150 orang asnaf terpilih.

Para asnaf yang terpilih tersebut terdiri daripada 40 orang pelajar FELDA Gedangsa dan FELDA Soeharto, di samping golongan orang kurang upaya serta kumpulan rentan.

Inisiatif yang dijayakan menerusi sumbangan syarikat korporat ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam persiapan menyambut kedatangan bulan Syawal menerusi penajaan pakaian baju raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, keunikan penganjuran program pada kali ini ialah para asnaf yang diraikan dibawa terus ke pusat membeli-belah bagi memberikan peluang kepada mereka untuk memilih sendiri kelengkapan Aidilfitri mengikut cita rasa masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau yang turut diiringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, YBhg. Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkesempatan beramah mesra dan meluangkan masa bersama-sama dengan para asnaf ketika sesi pemilihan pakaian tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kegembiraan asnaf tersebut terus diraikan dalam majlis berbuka puasa menerusi Program Semarak Kasih Ramadan Bersama Asnaf di Hotel Tamu.

Dalam majlis berkenaan, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee menyempurnakan acara simbolik penerimaan sumbangan daripada pihak penaja korporat dalam usaha menyantuni golongan asnaf.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan material, sebaliknya menjadi lambang keprihatinan dan tanggungjawab sosial bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada merasai kemuliaan bulan Ramadan,” jelas beliau menerusi satu kenyataan rasmi.

Sesi penyerahan cek cura dalam majlis tersebut merangkumi tajaan kewangan daripada CIMB Islamic Bank sebanyak RM10,000 dan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA (MAHB) bernilai RM5,000, serta Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) berbentuk produk barangan syarikat untuk diagihkan kepada para asnaf.

Majlis berbuka puasa tersebut turut diserikan dengan kehadiran oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YBhg. Kolonel Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Sementara itu, program berkenaan merupakan wadah dalam usaha mengeratkan jalinan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, sektor korporat, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memelihara kebajikan golongan yang memerlukan.

Majlis berbuka puasa menerusi Program Semarak Kasih Ramadan Bersama Asnaf di Hotel Tamu.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi