Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHat Yai – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Madrasah Baitunnur Lilbanat, sekali gus memperkasakan pendidikan Islam di Hat Yai.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pengetua madrasah tersebut, YBrs. Ustaz Esa Madadam yang turut diiringi oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, YBrs. Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
“Berusahalah dengan sepenuh hati dalam apa-apa juga bidang yang diceburi.
“Kejayaan terhasil daripada disiplin yang tinggi dan ketekunan yang berterusan,” titah baginda ketika berkenan berangkat ke madrasah tersebut, semalam.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri baginda berdua, Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
“Kalian jangan mudah berputus asa dan sebaliknya, jadikan setiap kegagalan sebagai pengajaran berharga yang mematangkan diri dan menguatkan langkah menuju kecemerlangan,” titah baginda.
Sebagai sebuah institusi pendidikan di wilayah Songkhla, Madrasah Baitunnur Lilbanat komited menjadi peneraju dalam pendidikan Islam seperti pengajian al-Quran, tajwid dan ilmu fardu ain khusus untuk pelajar perempuan.
Madrasah yang bertempat di kawasan Faeb ini mempunyai sebanyak 90 orang penuntut dari sekitar wilayah Songkhla, serta wilayah lain seperti Wilayah Pattani, Naratiwat dan Yala.
Madrasah tersebut menggabungkan kurikulum agama dan praktikal ibadah bagi membentuk pelajar yang cemerlang dari segi ilmu, pengukuhan rohani dan berakhlak mulia.
Persekitaran pembelajaran yang kondusif juga memastikan pelajar berpeluang mendalami ilmu agama secara menyeluruh, di samping menanamkan jati diri, disiplin dan tanggungjawab sosial.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra turut berkenan menyaksikan acara penyerahan wang tunai dan pakaian kepada pihak madrasah bersempena dengan sambutan bulan Ramadan dan simbolik lawatan tahunan ke sana.