Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Ijtimak Guru Muraqib Amil Sekolah Negeri Perlis 2026 bertempat di Masjid As-Sobirin, Kampung Gial, hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, program tersebut melibatkan sebanyak 103 orang peserta yang bertujuan menghimpunkan sebahagian guru yang dilantik menjadi sebagai Muraqib Amil di sekolah menengah dan juga sekolah rendah di seluruh Perlis.
Program ini juga bertujuan memperkukuh kefahaman serta menyelaras peranan mereka dalam pengurusan zakat pada peringkat sekolah, sekali gus memberikan pendedahan serta penerangan berkaitan dengan tanggungjawab bagi melaksanakan amanah sebagai Guru Muraqib Amil, khususnya dari aspek pengurusan penyaluran bantuan zakat kepada golongan yang layak.
Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, berkenan menyempurnakan penyampaian saguhati penghargaan MAIPs kepada para guru yang komited membantu MAIPs mengenal pasti serta memantau kebajikan pelajar asnaf di seluruh Perlis.

Sebelum ini, baginda menitahkan bahawa sekolah merupakan pusat ilmu yang kritikal dalam pembentukan sahsiah pelajar.
“Kehadiran pelajar ke sekolah yang konsisten dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik serta menyokong pembinaan masa hadapan yang lebih baik,” titah baginda.