Diterbitkan pada 8 Mac 2026, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Syarikat pembangunan hartanah dan hospitaliti tempatan, Kumpulan Syarikat Ehsan (EGC) terus menzahirkan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya dengan menyantuni golongan yang memerlukan dalam Majlis Iftar Perdana Ehsan dan Sumbangan Zakat Hari Raya Aidilfitri 2026 di Masjid India Kajang pada Sabtu.

Bagi penganjuran pada tahun ini, pihak EGC menyasarkan penyaluran bantuan kepada 5000 orang penerima sepanjang bulan Ramadan.

Inisiatif murni tersebut memfokuskan pemberian sumbangan zakat, duit raya dan tajaan juadah berbuka puasa kepada anak yatim, asnaf serta pelajar tahfiz dari beberapa buah daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program yang mendapat sokongan dan kerjasama Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) itu turut menampilkan pengisian tazkirah khas yang disampaikan oleh pendakwah jemputan dari Chennai, India, iaitu Ustaz Mohammed Ismail Manbaye.

Pengasas EGC, YBhg. Dato’ Haji Abdul Hamid PV Abdu merangkap Pengerusi Masjid India Kajang dalam ucapannya berkata, sebahagian daripada keuntungan syarikat wajar dikongsi bersama-sama dengan golongan yang kurang berkemampuan dan mereka yang memerlukan.

Selain itu, beliau memberikan jaminan bahawa program kebajikan seumpama itu akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan keperluan makanan asas seperti beras, serta cek sumbangan kepada para penerima.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh beberapa orang tokoh korporat terkemuka, termasuk Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah MAHSA Sdn. Bhd., YBhg. Profesor Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa Haji Abdullah; Pengasas dan Pemilik Rangkaian Restoran Ali Maju, YBhg. Dato’ Jawahar Ali, serta ahli perniagaan tempatan.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Yang Berhormat (YB) Tuan Cheong Kian Young berkesempatan hadir untuk beramah mesra dengan para hadirin, di samping menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima yang diraikan.

ADUN Kajang, YB Tuan Cheong Kian Young ketika mengagihkan bubur lambuk kepada para hadirin.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi