Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 8 Mac 2026, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui satu kenyataan media pada hari ini menyatakan sokongan terhadap pendekatan diplomasi budiman yang sedang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menangani perkembangan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Menurut Presidennya, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, “Pendekatan diplomasi yang berhati-hati, strategik dan berprinsip wajar dilakukan pada masa ini apabila berhadapan dengan situasi geopolitik yang kompleks dan berpotensi mencetuskan eskalasi yang lebih luas. Hal ini bagi memastikan Malaysia dapat memainkan peranan yang konstruktif untuk meredakan ketegangan yang sedang berlaku.”

ABIM mengambil maklum bahawa Perdana Menteri telah berhubung secara langsung dengan beberapa pemimpin negara yang terlibat dan berkepentingan bagi menggesa langkah mengurangkan ketegangan (de-escalation) serta menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam kalangan negara Islam.

“Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai suara sederhana yang menggalakkan dialog dan penyelesaian secara damai,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam diplomasi antarabangsa, banyak proses penting berlaku melalui saluran yang tidak semestinya diumumkan secara terbuka.

“Rundingan yang sensitif sering memerlukan ruang diplomatik tertutup bagi membolehkan dialog yang lebih jujur dan konstruktif antara pihak yang terlibat. Maka itu, keberkesanan diplomasi tidak wajar diukur melalui kenyataan terbuka atau retorik awam semata-mata.”

Sebagai sebuah negara sederhana yang dihormati di peringkat antarabangsa, Malaysia telah sekian lama mengamalkan pendekatan diplomasi yang berhemah dan inklusif. Jelas kenyataan tersebut lagi, pendekatan ini membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk negara Teluk, Iran serta kuasa besar dunia. Hal ini sekali gus memberikan ruang kepada Malaysia untuk menjalankan peranan sebagai jambatan dialog dalam situasi konflik yang sensitif.

“Dalam konteks Asia Barat, realiti geopolitik juga perlu diambil kira. Negara Teluk sendiri sedang berusaha mengelakkan konflik yang lebih luas di rantau tersebut. Dalam keadaan yang rapuh ini, pendekatan yang terlalu konfrontatif dari luar rantau berpotensi menjejaskan usaha penstabilan yang sedang berjalan.”

ABIM berpandangan bahawa diplomasi budiman menuntut keseimbangan antara solidariti moral dengan pertimbangan strategik. Malaysia perlu terus menyuarakan keprihatinan terhadap keadilan dan keamanan, khususnya dalam isu Palestin dan penderitaan rakyat Gaza. Namun begitu, pada masa yang sama, Malaysia hendaklah memastikan bahawa langkah yang diambil tidak menutup ruang diplomasi yang sedang diusahakan.

Cadangan agar Malaysia mengambil pendekatan yang lebih konfrontatif dalam konflik ini perlu dilihat secara berhati-hati. Dalam realiti hubungan antarabangsa, diplomasi yang berkesan bukan ditentukan oleh kenyataan yang paling lantang, tetapi oleh keupayaan membina kepercayaan serta membuka ruang dialog antara pihak yang bertelagah.

Malaysia secara tradisinya memainkan peranan sebagai jambatan dialog antara Asia Tenggara, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa. Peranan ini menuntut pendekatan yang seimbang, berhemah dan berpandangan jauh agar Malaysia terus dipercayai oleh pelbagai pihak dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan global.

ABIM menyeru semua pihak termasuk masyarakat agar menyokong inisiatif diplomatik yang konstruktif serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan ruang diplomasi yang sedang berjalan.

“Dalam diplomasi antarabangsa, suara yang paling lantang tidak semestinya paling berpengaruh. Yang lebih penting ialah keupayaan membina kepercayaan, meredakan ketegangan dan membuka ruang kepada perdamaian yang berpanjangan,” menurut kenyataan tersebut.

Malaysia wajar memainkan peranan sebagai negara yang mengutamakan dialog, kestabilan dan keamanan demi kepentingan manusia sejagat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi