Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn. Bhd. menyalurkan sumbangan berjumlah lebih RM43,400 kepada dua buah institusi kebajikan, iaitu Rumah Kanak-kanak Arau dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh.
Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam program Majlis Ramadan Kita anjuran MAIPs di Rumah Kanak-kanak Arau, Guar Nangka.
Sumbangan yang disalurkan merangkumi pemberian duit raya kepada 137 orang penerima, juadah berbuka puasa serta kelengkapan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, di samping sumbangan khas kepada kedua-dua buah institusi kebajikan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn. Bhd., YBrs. Encik Zaki Abdul Aziz Daud berkata, penganjuran majlis itu merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya anak yang kurang bernasib baik.
Selain itu, pihaknya turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan daripada MAIPs terhadap pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh syarikat di negeri itu.
Dalam perkembangan yang berkaitan, syarikat tersebut turut melaksanakan Projek Kutipan Sisa Pepejal Kampung, sekali gus menjadikan Perlis sebagai negeri perintis bagi inisiatif kebersihan tersebut.
Projek yang mendapat kerjasama strategik daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi kempen “Perlis Go Clean” itu bertujuan menggalakkan pembudayaan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti.
Setakat ini, projek rintis tersebut sedang giat dilaksanakan di 15 buah kampung seluruh negeri Perlis.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, YBrs. Tuan Haji Ku Chik Ku Mat Esa.