Diterbitkan pada 7 Mac 2026, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Syarikat 99 Speedmart Sdn. Bhd. buat julung kalinya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan mewujudkan Tabung Makanan Anjung Rezeki MAIPs.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan inisiatif murni ini yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu Lima, Jalan Kuala Perlis.

Inisiatif ini telah dilaksanakan sejak beberapa bulan yang lalu di tiga lokasi, iaitu Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai projek perintis, diikuti oleh Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Program ini akan dikembangkan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dalam pelaksanaan fasa kedua sebelum diteruskan lagi ke peringkat yang seterusnya.

Yang turut hadir ke program ini ialah Yang Amat Mulia (YAM) Datuk Seri DiRaja Sharifah Azwan Jamalullail, Tengku Puan Laksamana Kelantan; Yang Di-Mulia (YDM) Engku Maharaja Lela Setia Paduka Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail, dan Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.

YBrs. Encik Yong Eng Kwang, Ketua Pegawai Operasi (COO) 99 Speedmart yang menyampaikan ucapan berkata bahawa program ini merupakan pendekatan yang bermakna untuk menyantuni komuniti yang memerlukan selain berperanan sebagai inisiatif kebajikan.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat menyelamatkan lebihan makanan yang masih elok daripada pembaziran, di samping mendidik masyarakat agar lebih menghargai rezeki,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif tabung makanan ini dapat mengaspirasikan lebih banyak syarikat swasta untuk bersama-sama turun padang dan memainkan peranan bagi menjayakan usaha murni ini.

Menurut beliau, manfaat program ini dapat diperluas dengan sokongan banyak pihak sekali gus membantu lebih ramai rakyat secara lebih pantas dan efisien. Hal ini selaras dengan tiga teras utama pelancaran tabung makanan, iaitu menyantuni komuniti, menyelamatkan makanan dan menyayangi alam sekitar.

Beliau juga menzahirkan komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama erat bersama-sama dengan MAIPs bagi memastikan pelaksanaan Anjung Rezeki MAIPs dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan. Keyakinan terhadap jalinan strategik antara institusi agama dengan sektor swasta ini akan terus diperkukuh demi manfaat masyarakat pada masa hadapan.

Semasa program Tabung Makanan Anjung Rezeki ini berlangsung, Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berbentuk wang zakat MAIPs, bakul makanan serta lima kilogram (kg) beras kepada 150 orang asnaf terpilih.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi