Diterbitkan pada 7 Mac 2026, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramadan sering menjadi musim yang meriah dengan pelbagai tawaran bufet berbuka puasa di hotel, restoran dan premis makanan di seluruh negara. Setiap tahun, kita melihat promosi bufet Ramadan semakin mendapat sambutan dengan pelbagai hidangan tradisional dan antarabangsa ditawarkan kepada pelanggan.

Situasi ini menggambarkan budaya berbuka puasa secara berjemaah bersama-sama dengan keluarga, rakan dan masyarakat semakin berkembang dalam kalangan umat Islam. Namun begitu, di sebalik kemeriahan tersebut, terdapat persoalan penting yang  perlu diberikan perhatian, iaitu sejauh manakah kita sebagai pengguna mengambil berat tentang status halal serta aspek halalan tayyiban makanan yang disediakan?

Realitinya, masih terdapat sebahagian pengguna yang membuat pilihan bufet Ramadan berdasarkan harga, promosi atau kepelbagaian menu semata-mata, tanpa menyemak sama ada premis tersebut mempunyai pensijilan halal yang sah ataupun tidak. Pada hakikatnya, perkara ini merupakan aspek asas yang perlu diberikan perhatian oleh setiap Muslim.

Dalam Islam, makanan bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani atau menghilangkan rasa lapar. Setiap sesuatu yang dimakan oleh seseorang juga mempunyai kaitan dengan keberkatan hidup, pembentukan rohani dan penerimaan ibadah. Oleh itu, konsep pemakanan dalam Islam tidak hanya menekankan halal semata-mata, tetapi juga halalan tayyiban, iaitu makanan yang halal, bersih, baik dan selamat untuk dimakan.

Perkara ini selaras dengan seruan Allah SWT kepada manusia agar memakan makanan yang halal lagi baik (halalan tayyiban). Firman Allah SWT yang bermaksud, ”Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah 2:168).

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam memberikan panduan yang jelas dalam soal pemakanan. Makanan yang halal bukan sahaja penting dari sudut hukum syarak, bahkan perlu memenuhi aspek kebersihan, keselamatan makanan, serta kualiti bahan yang digunakan.

Dalam konteks bufet Ramadan, pengguna perlu mengambil kira beberapa perkara penting. Antaranya termasuklah memastikan premis yang menawarkan bufet mempunyai pensijilan halal yang sah, memerhatikan cara penyediaan makanan, serta memastikan bahan mentah yang digunakan tidak menimbulkan keraguan.

Hal ini dikatakan demikian kerana dalam industri makanan, terdapat beberapa bahan kritikal halal seperti sumber ayam dan daging, penggunaan keju yang mungkin mengandungi renet daripada sumber yang tidak jelas, serta penggunaan gelatin dalam hidangan pencuci mulut seperti marsymalo dan produk seumpamanya.

Rasulullah SAW turut mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap perkara yang meragukan. Baginda bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-nya terdapat perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang kebanyakan orang. Sesiapa yang takut terhadap syubhah, bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya; dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no.1205).

Lebih daripada itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa makanan yang tidak halal boleh memberikan kesan terhadap penerimaan doa seseorang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Baginda menceritakan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh, berdoa kepada Allah SWT dalam keadaan penuh harap, namun makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, lalu Baginda menyebut tentang bagaimanakah mungkin doanya akan dimakbulkan? (Sahih Muslim, no. 1015).

Hadis ini memberikan satu peringatan besar kepada umat Islam bahawa soal halal bukan sekadar isu hukum, tetapi juga berkaitan rapat dengan keberkatan hidup dan penerimaan ibadah.

Di Malaysia, sistem pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjadi rujukan utama bagi memastikan sesuatu premis atau produk makanan mematuhi standard halal yang ditetapkan. Oleh itu, pengguna digalakkan memilih premis bufet Ramadan yang mempunyai pensijilan halal bagi memastikan makanan yang diambil memenuhi tuntutan syariah.

Dalam keghairahan menikmati pelbagai hidangan bufet Ramadan, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah makanan yang kita nikmati sekadar mengenyangkan perut, atau benar-benar memenuhi prinsip halalan tayyiban?

Ramadan ialah bulan yang mendidik jiwa dan meningkatkan ketakwaan. Oleh itu, kesedaran halal seharusnya menjadi sebahagian daripada amalan kita sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Apabila seseorang lebih peka ketika membuat pilihan, pengguna tersebut bukan sahaja menjaga tuntutan agama, malah secara tidak langsung dapat membantu memperkukuhkan ekosistem halal negara, serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap industri halal Malaysia.


Penulis merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Ketua Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam Program Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi