Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKulai – Pelaksanaan Program Iftar 1000 Bulan dan Citra Puisi Ramadan di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Bandar Tenggara pada Jumaat, menyantuni golongan anak yatim dan ibu tunggal, selain menampilkan kelainan menerusi kepelbagaian persembahan puisi.
Program anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pertubuhan Anak Yatim Bandar Tenggara (PEYARA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) itu berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar masyarakat.
Mereka terdiri daripada penghuni Pusat Aktiviti Warga Emas, remaja dan belia dari Kelab Rakan Muda, mahasiswa, pelajar sekolah serta para penulis dari pelbagai daerah di negeri berkenaan.
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), YBrs. Tuan Mohd Fakharur Razziy Hazran.
Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai pengisian yang menarik diadakan merangkumi bacaan rawi, alunan qasidah, bacaan selawat, deklamasi sajak serta persembahan puisi tradisional seperti nazam dan syair, serta penyampaian tazkirah sastera Ramadan oleh YBrs. Encik Mohd Arief Ruhaizat.
Ketua Satu PPJ, YBrs. Encik Amiruddin Mohamad Ali Hanafiah berkata, program tersebut meraikan sebanyak 30 orang anak yatim yang masing-masing menerima sumbangan duit raya, pakaian dan kuih raya.

Menurut beliau, sebanyak 12 orang ibu tunggal yang hadir turut menerima sumbangan barangan keperluan asas dan pakaian hasil tajaan sebuah syarikat swasta.
“Ramadan bukan sekadar bulan untuk beramal, bahkan bulan untuk kita menambah ilmu dan perbendaharaan kata seperti menghayati makna di sebalik perkataan ihya’, infak, dan iftar,” jelas beliau.
Sementara itu, Yang DiPertua PEYARA, YBrs. Tuan Haji Baharuddin Haji Sham memaklumkan bahawa inisiatif menyantuni anak yatim Bandar Tenggara ini merupakan penganjuran kali ketiga pelaksanaannya.
Baharuddin menyifatkan bahawa usaha murni PPJ ini sebagai satu langkah yang baik bagi menyantuni anak yatim, di samping memberikan pendedahan ilmu kesusasteraan kepada mereka.
Sementara itu, program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Tenggara, Yang Berhormat (YB) Mannzri Haji Nasib; wakil DBP, YBrs. Puan Rabi’ahtuladawyah Md Saleh; Pengarah Nusa Centre, YBrs. Tuan Syed Mohd Zakir S. Othman; Timbalan Presiden GAPENA, YBrs. Encik Zainal Jais serta wakil Majlis Kebudayaan Negeri Johor, YBrs. Tuan Haji Mohd Rosli Bakir.