Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Bagi mendepani cabaran globalisasi, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) terus komited mengimbangi kecemerlangan akademik dengan kekuatan rohani melalui penganjuran Karnival Pengukuhan Kurikulum Adab dan Nilai (ADNI) 2026 yang berlangsung semalam.
Program ini merupakan anjuran Bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan telah disempurnakan oleh Pengetua SMKA SHAMS, Tuan. Haji Ahmad Shahrir Abdul Ghani.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa kecemerlangan hakiki seseorang murid tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi terserlah melalui pembentukan peribadi yang unggul dan keutuhan nilai diri.
Pelaksanaan ADNI 2026 ini selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Malaysia (RPM 2026–2035) yang menekankan pembangunan modal insan berkualiti tinggi, berintegriti dan berdaya tahan.
Dalam kerangka pembangunan negara tersebut, pendidikan diberikan peranan strategik untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah berakhlak dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
ADNI 2026 ini juga menghimpunkan pelbagai acara diniah seperti tilawah dan hafazan al-Quran, hafazan hadis, hafazan Juzuk ‘Amma, seni khat, nasyid, kuiz bahasa Arab, hiwar, serta debat bahasa Arab yang mencerminkan pendekatan pendidikan yang menyeluruh, merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor dalam kalangan murid.

Melalui platform ini, murid bukan sahaja diuji dari sudut ketepatan bacaan dan kekuatan hafalan, malah turut dinilai melalui disiplin, ketekunan, serta keyakinan diri yang tinggi ketika berhadapan dengan khalayak.
Bagi pertandingan tilawah dan hafazan, para peserta dituntut untuk mempamerkan penguasaan tajwid yang jitu serta kelancaran bacaan yang konsisten.
Sementara itu, seni khat menjadi wahana mengasah ketelitian dan kesabaran, manakala acara nasyid serta debat bahasa Arab berjaya membina kemahiran komunikasi, keberanian berhujah, dan semangat kerja berpasukan yang teguh.