Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menerusi satu kenyataan pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya serangan ketenteraan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
Yang Di Pertua PUM, YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah menyifatkan serangan berkenaan mencetuskan konflik serius yang baharu, sekali gus membawa implikasi terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Barat.
“Serangan tersebut telah mengorbankan pemimpin utama Iran, Ali Khamenei, pemimpin kanan dan masyarakat awam, termasuk 180 orang pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Luqman yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, serangan itu bukan sahaja meningkatkan ketegangan sedia ada, malah memberikan kesan yang besar terhadap keselamatan orang awam.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ketenteraan tidak akan sesekali menyelesaikan konflik, sebaliknya memburukkan lagi penderitaan rakyat dan menutup ruang diplomasi.
“PUM mengingatkan bahawa perang dan keganasan tidak membawa sebarang penyelesaian, sebaliknya hanya menambah penderitaan, menyekat usaha rundingan dan dialog, serta mengancam kestabilan hidup rakyat,” ujarnya.
Lantaran itu, beliau menggesa kuasa besar dunia agar memainkan peranan yang lebih berprinsip ke arah menegakkan keamanan sejagat.
“Kami juga menyeru kepada Amerika Syarikat agar membebaskan diri daripada pengaruh Zionis ekstrem yang mendorong kepada dasar yang mengancam keamanan dunia,” tegasnya.
PUM mendesak komuniti antarabangsa supaya segera mengutamakan pelaksanaan gencatan senjata, melindungi orang awam, serta kembali ke meja rundingan.
Pada masa yang sama, pertubuhan itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri membawa usul tergempar di Parlimen bagi mengutuk serangan terhadap Iran, di samping menyentuh penderitaan berterusan yang menimpa rakyat Gaza.