Diterbitkan pada 1 Mac 2026, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Jabatan Mufti Negeri Perak menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi awal berhubung dengan penentuan tarikh 1 Syawal, sebaliknya​menunggu pengumuman rasmi daripada pihak berautoriti.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, jabatan tersebut meminta masyarakat untuk kekal ​bertenang, dan memahami bahawa perbezaan tarikh penentuannya daripada jangkaan takwim merupakan perkara yang lumrah dalam disiplin ilmu falak.

​Menurut kenyataan itu, parameter hilal (anak bulan) pada setiap tahun berbeza-beza dan pada tahun ini, hilal Syawal didapati lebih rendah dan amat sukar untuk dicerap berbanding dengan kedudukannya pada tahun 2022, lantas menjadikan tahap kebolehlihatannya secara teknikal juga lebih sukar.

​Walau bagaimanapun, ujarnya, keputusan rasmi tetap bergantung pada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan yang ditetapkan, serta pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

​Pihaknya turut menyarankan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada saat akhir.

“Penetapan rasmi 1 Syawal tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan.

“Sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dengan keputusan rasmi bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, takwim Hijrah yang diedarkan kepada khalayak disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan.

“Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu.

“Berdasarkan prinsip falak, apabila hilal berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, kewujudannya mempunyai potensi untuk dilihat,” tegasnya.

​“Namun begitu, dalam konteks Malaysia, tahap kebolehlihatan hilal bergantung pada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) dan jarak antara bulan dengan matahari (elongasi).

“Hilal yang terlalu rendah atau hampir dengan ufuk mempunyai potensi kenampakan yang sangat lemah walaupun secara teorinya telah wujud, dan keberadaan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin kenampakan secara fizikal,” jelasnya.

Selain itu, keadaan cuaca seperti awan tebal, jerebu atau gangguan atmosfera turut menjadi cabaran utama dalam proses cerapan.

Tambahnya, meskipun hilal dijangka mempunyai potensi untuk dilihat secara hisab sekalipun tidak memenuhi kriteria, faktor cuaca boleh menghalang penampakan anak bulan tersebut.

“Dalam keadaan atmosfera yang sangat baik, hilal kadangkala berjaya dicerap, dan hal tersebut jarang berlaku di negara.

“Hal ini menunjukkan keputusan penetapan tidak hanya bergantung pada data kiraan, tetapi juga realiti cerapan di lapangan,” jelasnya.

Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai kebimbangan masyarakat bahawa 1 Syawal pada tahun ini bakal jatuh pada 20 Mac berbeza dengan tarikh jangkaan takwim, iaitu pada 21 Mac.

Khabar angin tersebut mencetuskan reaksi awam kerana bimbang situasi pada tahun 2022 akan berulang kembali apabila hari pertama Aidilfitri disambut secara “terkejut” sehari lebih awal daripada jangkaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi