Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM6,056,000 bagi Sumbangan Bantuan Fitrah Tahun 2026 yang bertujuan meringankan beban golongan asnaf pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Sebanyak 12 112 orang asnaf fakir miskin bakal menerima sumbangan tersebut secara berperingkat bagi membantu mereka membeli barangan makanan dan keperluan asas yang lain.
Simbolik pelancaran bantuan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan Majlis Iftar Jamaie bersama-sama Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs, semalam.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan DYAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan agar setiap jawatankuasa MAIPs memainkan peranan saling melengkapi bagi memperkukuh ekosistem tadbir urus Islam di Perlis kepada tahap yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menekankan kepentingan memperkasakan pengurusan zakat dan wakaf secara berimpak, serta memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan untuk memberikan kesan positif terhadap peningkatan taraf hidup asnaf.
Tambah baginda, inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh usaha ke arah pembasmian kemiskinan sepenuhnya di Perlis dalam tempoh yang lebih singkat.
“Pengukuhan institusi pendidikan dan kebajikan Islam membuktikan kesungguhan MAIPs untuk terus bergerak seiring dengan tuntutan semasa tanpa mengabaikan prinsip syariah serta nilai tradisi yang menjadi teras kekuatan institusi Islam di negeri ini,” titah baginda lagi.
Pada masa yang sama, baginda turut berkenan menyempurnakan Sesi Kurniaan Tauliah dan penyampaian Perutusan Lantikan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs bagi tahun 2026–2027.
