Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – CIMB Islamic Bank Berhad dan Yayasan CIMB memperuntukkan lebih RM2.22 juta menerusi Program Harapan Ramadan 2026 bagi memperkasakan sosioekonomi lebih 45 000 orang penerima daripada komuniti yang memerlukan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic dan Yayasan CIMB, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, usaha pada tahun ini tertumpu pada pengukuhan ekonomi tempatan dengan melibatkan pemilik perniagaan kecil secara langsung dalam rantaian nilai program tersebut.
Menurut beliau, setakat ini, CIMB bekerjasama dengan 100 buah kedai runcit kejiranan terpilih di seluruh negara untuk membekalkan barangan kotak makanan, sekali gus membantu kelangsungan perniagaan kecil, serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
Selain itu, CIMB menyediakan dana permulaan sebanyak RM1,000 kepada 50 orang usahawan mikro asnaf sebagai sokongan awal bagi perniagaan sepanjang Ramadan.
Inisiatif itu turut membabitkan alumni program keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s dan para penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Program Santuni MADANI.
Pada peringkat serantau, CIMB Niaga Syariah menjalankan aktiviti Ramadan di seluruh Indonesia melalui pengedaran iftar, manakala CIMB Singapura pula menggerakkan sukarelawan bagi menyediakan dan mengagihkan bantuan kepada warga emas dan keluarga berpendapatan rendah bersempena dengan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
“Dengan menggerakkan dana zakat wakalah, sumbangan korporat dan kerjasama dengan rakan komuniti, CIMB menyasarkan untuk memastikan manfaat program ini memberikan impak kepada komuniti di Malaysia, dan secara berasingan, melalui inisiatif tambahan di Indonesia serta Singapura melangkaui bulan Ramadan,” katanya.
“Ini sekali gus memperkasakan matlamat kami dalam Memajukan Pelanggan dan Masyarakat menerusi tindakan praktikal yang membantu komuniti untuk berkembang dan maju,” ujarnya lagi.
Pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, CIMB mengagihkan kotak makanan kepada 150 orang penerima daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Selain usaha pemerkasaan ekonomi, bantuan ini turut disalurkan kepada ibu tunggal, anak yatim, warga emas, asnaf dan komuniti B40, orang kurang upaya, penghuni penjara dan komuniti Orang Asli.
Bantuan disampaikan menerusi kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan harian, elaun tunai atau duit raya, program iftar dan tazkirah, di samping inisiatif pembelian khas kelengkapan Aidilfitri untuk kanak-kanak terpilih.
Bagi memupuk semangat kebersamaan, sukarelawan CIMB termasuk kakitangan cawangan turut terlibat dalam penyediaan dan pengagihan kotak makanan, serta penganjuran majlis iftar di PPR angkat CIMB, iaitu Pinggiran Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor, dan Seri Alam.
Sejak penubuhannya pada tahun 2022, program Harapan Ramadan telah berjaya menyalurkan dana lebih RM8.7 juta yang memberikan manfaat kepada lebih 174 500 orang penerima, dengan sokongan lebih 1300 orang kakitangan CIMB.
Program ini merupakan inisiatif utama di bawah agenda impak sosial Kumpulan CIMB.