Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Penyertaan Penyelaras Siswazah dan pelajar pascasiswazah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Konvensyen Gagasan Pemikiran Allahyarham Dr. Abdul Hayei Abd Sukor: Mendepani Tafsir Pedoman Muttaqin memberikan impak signifikan terhadap pengukuhan penyelidikan tafsir al-Quran, sekali gus memperkasakan budaya wacana ilmiah dalam kalangan penyelidik muda.
Konvensyen yang berlangsung pada 12 Februari 2026 dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Dorsett Putrajaya itu menghimpunkan sebanyak sembilan orang pembentang yang mengupas manhaj pemikiran Allahyarham menerusi karya monumentalnya, Tafsir Pedoman Muttaqin secara komprehensif.
Kupasan tersebut meliputi aspek metodologi tafsir, pendekatan maqasidi, tafsir ilmiah, gaya bahasa, serta biografi tokoh bagi memetakan legasi intelektual beliau dalam konteks Malaysia moden.
Ketua Penolong Pengarah Unit Murid Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Encik Mohd Khamal Daud berpandangan, konvensyen tersebut berjaya menghuraikan secara sistematik manhaj tafsir Allahyarham, khususnya melalui pendekatan tafsir tahlili yang merangkumi pengenalan surah, munasabah ayat, huraian makna, serta pengajaran praktikal yang memperlihatkan integrasi antara tafsir bi al-ma’thur dengan ijtihad semasa, sesuai dengan realiti masyarakat Melayu.
“Karya ini bukan sekadar terjemahan biasa, tetapi satu model tafsir yang menggabungkan tradisi keilmuan Islam dengan konteks tempatan dan kesedaran terhadap realiti semasa,” jelasnya.
Beliau yang juga pelajar pascasiswazah FPQS menambah, analisis yang merangkumi aspek syariah menjadikan karya tersebut unik dalam landskap penulisan tafsir di Malaysia, serta memberikan inspirasi kepada pelajar untuk meneliti karya Allahyarham sebagai model pemikiran yang boleh dianalisis secara kritikal dan dibangunkan sebagai rujukan yang lebih luas.
Sementara itu, pelajar pascasiswazah FPQS dari Indonesia, Inayatur Romaniyatul M menyifatkan konvensyen tersebut sebagai pengalaman bermakna kerana karya Tafsir Pedoman Muttaqin amat relevan dengan fokus penyelidikannya bagi memahami pendekatan tafsir yang menggabungkan dua metodologi secara serentak.
“Saya datang dengan harapan besar untuk mendapatkan pencerahan mendalam daripada para pakar ilmu tafsir Malaysia.
“Ternyata, pembentangan yang disampaikan sangat membantu memperhalus kerangka kajian saya,” katanya.
Beliau turut menyatakan perasaan terharu apabila mengetahui sebahagian pembentang merupakan anak didik Allahyarham yang mengupas biografi dan pemikiran guru mereka, sekali gus memperlihatkan kesinambungan tradisi keilmuan yang bukan sahaja memelihara kandungan karya, bahkan menghargai legasi tokoh.
Konvensyen Gagasan Pemikiran Allahyarham Dr. Abdul Hayei Abd Sukor dirasmikan oleh Pengarah Kanan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBrs. Tuan Haji Amran Haji Awaluddin.
Konvensyen tersebut disertai oleh kira-kira 250 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah, pensyarah, serta penyelidik dari pelbagai institusi awam seluruh negara.