Diterbitkan pada 20 Februari 2026, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Solat sunat tarawih, anugerah istimewa Ramadan yang menyatukan keheningan, keimanan dan keikhlasan, serta menjanjikan ganjaran dan keampunan untuk setiap Muslim yang menghidupkan malamnya dengan penuh kesungguhan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredai oleh Allah itu) yang tekun beribadah kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan bersujud dan berdiri.” (Surah al-Furqan 25:64).

Istilah tarawih berasal daripada kata tarwihatun yang bermaksud rehat. Tarawih merupakan solat malam yang dilakukan khusus dalam bulan Ramadan. Mengapakah solat ini dinamakan rehat? Para salafussoleh dahulu memanjangkan bacaan al-Quran, juga ketika rukuk dan sujud mereka. Setiap kali selesai empat rakaat (dua salam), mereka akan berehat untuk mengumpul tenaga sebelum menyambung rakaat seterusnya. Pelbagai kaedah rehat diamalkan, antaranya termasuklah membaca al-Quran, berzikir, tawaf di Baitullah; malah ada yang berbaring atau tidur. Hal ini menunjukkan tarawih bukan solat yang dilakukan secara terburu-buru, tetapi pengabdian diri kepada Ilahi yang dilakukan dengan penuh ketenangan.

Allah SWT berfirman:


Maksudnya: “Sesungguhnya bangun malam (bersolat dan beribadah) itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan al-Quran pada waktu itu) lebih berkesan.” (Surah al-Muzzammil 73:6).

Berpandukan catatan sejarah, Rasulullah SAW melakukan solat tarawih secara berjemaah bersama-sama dengan sahabat hanya pada tiga malam. Pada malam seterusnya, Baginda tidak keluar ke masjid. Apabila ditanya oleh para sahabat, Baginda bersabda yang bermaksud, “Aku bimbang solat ini akan difardukan (diwajibkan) kepada kamu, lalu kamu tidak mampu melaksanakannya.”

Pada zaman Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a., telah hilang kebimbangan ummah dan salah faham mereka yang menganggap solat tarawih wajib dilakukan. Apabila beliau memerhatikan para sahabat solat bersendirian terpisah-pisah di Masjid Nabawi, Sayidina ‘Umar r.a. memerintahkan agar solat tarawih dilakukan secara berjemaah.

Terdapat riwayat yang menyebut bahawa solat tarawih dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan diakhiri dengan 3 rakaat witir. Pada zaman para sahabat, solat ini dilakukan dengan bacaan yang panjang. Bagi mengelakkan jemaah berdiri terlalu lama dan berasa terbeban, mereka berehat seketika selepas setiap empat rakaat.

Pada zaman Sayidina ‘Umar r.a., beliau menghimpunkan umat Islam untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah di bawah pimpinan seorang imam. Melihat kebaikan dan kesatuan yang terhasil, beliau berkata, “Sebaik-baik bidaah adalah ini,” iaitu suatu pembaharuan dalam penyusunan pelaksanaan ibadah yang selaras dengan ajaran Rasulullah SAW, bukan mencipta ibadah baharu.

Solat tarawih bukan sekadar ibadah rohani, bahkan pelengkap jasmani yang sangat baik selepas seharian berpuasa. Antara manfaat solat tarawih di dunia dan di akhirat termasuklah:

Pertama: Pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang, umpama senaman ringan. Kajian juga menunjukkan individu yang mengamalkan solat secara sempurna mempunyai tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental yang lebih baik berbanding dengan individu yang tidak melakukan solat dengan sempurna. Solat tarawih yang lebih lama dan melibatkan banyak pergerakan, membantu memberikan kebaikan yang banyak, terutama bagi mereka yang makan secara berlebih-lebihan ketika berbuka.

Kedua: Ganjaran pahala ibadah sepanjang malam. Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a., Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat) bersama-sama dengan imam sehingga imam selesai, dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Ketiga: Penghapusan dosa masa lalu. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat (malam) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

Fadilat Solat Sunat Tarawih

Janganlah kita memandang ringan fadilat ibadah solat sunat tarawih dan membiarkan Ramadan berlalu tanpa berusaha melakukannya. Terdapat lima perkara yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam, iaitu:

Pertama: Tarawih menatijahkan pengampunan. Ibadah ini sebagai peluang untuk seseorang melakukan “pemutihan” dosa yang tidak harus dilepaskan oleh sesiapa pun. Sesungguhnya manusia banyak melakukan kesilapan sama ada secara sedar ataupun tidak sedar.

Kedua: Tarawih menguatkan semangat kesatuan dalam berjemaah. Solat berjemaah dengan imam sehingga selesai juga dijanjikan pahala solat semalaman.

Ketiga: Tarawih meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental. Pergerakan fizikal solat tarawih memberikan manfaat kesihatan, manakala bacaannya memberikan manfaat kepada jiwa.

Keempat: Tarawih menguji keikhlasan dan istiqamah. Nilai sebenar tarawih terletak pada kecekalan kita menghadirkan diri ke rumah Allah SWT dari malam pertama hingga malam terakhir Ramadan.

Kelima: Tarawih ialah latihan persediaan menuju lailatulqadar agar jiwa kita bersedia dan terjaga untuk memburu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Semoga Allah SWT mengurniai kita kekuatan fizikal dan kecekalan hati untuk terus menghidupkan malam Ramadan dengan solat tarawih yang berkualiti.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 20 Februari 2026, bertajuk “Fadilat Solat Sunat Tarawih”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi