Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSatun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Maahad Tahfiz al-Quran Darul Jannah, Ban Chalong, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut bertujuan menyantuni warga institusi pendidikan Islam di wilayah berkenaan, selain mengeratkan hubungan ukhuwah antara masyarakat Islam.
Bersempena dengan lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan bagi kegiatan pada bulan Ramadan yang bakal menjelang.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada pihak pengurusan maahad tahfiz berkenaan bagi menyokong kelancaran program ibadah dan pendidikan para pelajar sepanjang bulan suci nanti.
Dalam titah ucapan semasa lawatan tersebut, Baginda menyeru umat Islam agar kembali kepada asas ajaran al-Quran dan menghayati setiap inti patinya sebagai kunci utama ketika mendepani pelbagai kemelut kehidupan moden pada hari ini.
Selain itu, baginda bertitah, al-Quran bukan sekadar mashaf untuk dibaca, sebaliknya perlu dijadikan landasan yang teguh bagi mencapai kejayaan seimbang di dunia dan di akhirat.
Titah baginda lagi, jalan penyelesaian bagi segala permasalahan, sama ada dari sudut peribadi, sosial mahupun kedaulatan ummah, sebenarnya telah digariskan dengan jelas dalam kalam Allah tersebut.
“Tiada masalah bagi kita yang tidak mempunyai jalan keluar sekiranya kembali kepada petunjuk al-Quran.
“Kehadirannya merupakan manual kehidupan yang lengkap bagi membimbing manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran,” titah baginda.
Keberangkatan baginda turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri, Datin Nuranee Pitisathepan serta wakil dari Majlis Agama Islam Wilayah Satun.