Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Hakim-hakim syarie perlu lebih proaktif meneroka dan mencipta inovasi baharu bagi mempercepat penyelesaian kes-kes di Mahkamah Syariah, namun tetap berlandaskan kerangka undang-undang sedia ada.
Usaha inovasi ini penting bagi memastikan keadilan dapat disampaikan dengan lebih cepat, berkesan dan mesra umat tanpa menjejaskan prinsip perundangan serta tatacara kehakiman yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, Mahkamah Syariah perlu menyediakan mekanisme yang jelas, mudah diakses dan efisien bagi membolehkan orang awam menyelesaikan kes-kes mereka dengan segera, khususnya melibatkan perkara-perkara yang tidak rumit dan boleh diselesaikan melalui pendekatan alternatif.
Dalam menghadapi keperluan ini, hakim-hakim syarie hendaklah sentiasa bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan sikap keterbukaan terhadap pembaharuan, selaras dengan tuntutan semasa dan harapan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program Hijrah Minda yang dianjurkan itu bertujuan menyemai kesedaran serta memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat, selari dengan usaha berterusan MAIPs dalam membimbing umat ke arah pembentukan akhlak dan pemikiran yang seimbang serta berteraskan syariat.
Sempena penganjuran program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 orang asnaf terpilih sebagai manifestasi keprihatinan institusi zakat negeri terhadap kebajikan golongan yang memerlukan.
Sumbangan itu melibatkan 75 orang anak kariah Masjid Al-Hussain, 75 orang anak kariah Seriab, 75 orang anak kariah Titi Tok Bandar serta 75 orang anak kariah Tok Kaya dalam membantu meringankan beban kewangan mereka dan memperkukuh kesejahteraan hidup komuniti setempat.