Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Kerajaan negeri Perlis perlu terus istiqamah memperkasakan penghayatan al-Quran sebagai teras utama pembinaan ummah.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026M/1447H di Dewan Warisan pada Khamis.
Usaha ini penting bagi melahirkan umat Islam yang memiliki jati diri yang teguh serta berpaksikan nilai rabbani.
Titah baginda, al-Quran merupakan mukjizat yang terpelihara keasliannya sehingga hari kiamat dan menjadi teras pembinaan “Insan Rabbani Bestari” yang berlandaskan kebenaran mutlak.
“Mukjizat tauhid melalui Surah al-Ikhlas menegaskan keagungan Allah SWT sebagai tunjang pembentukan peribadi rabbani.
“Al-Quran juga merupakan perlembagaan agung yang bersifat sejagat, membimbing umat mengurus kehidupan dan mentadbir masyarakat secara adil, berintegriti serta berhikmah,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah, mukjizat sains dan alam dalam al-Quran membuktikan bahawa Islam menjunjung kecemerlangan ilmu, mengilhamkan manusia untuk berfikir, mengkaji dan mentadbir alam selari dengan syariat Allah SWT.
“Marilah kita menjadikan majlis ini sebagai titik tolak untuk membudayakan interaksi dengan al-Quran secara istiqamah, khususnya tatkala menyambut Ramadan yang bakal tiba melalui pemantapan bacaan dan tadabur,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan, Muhammad Anas Abdul Hadi dan Norsyafirah Jusoh masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah.
Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000, sijil, plak, hadiah iringan serta kurniaan khas daripada Raja Perlis serta Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Acara pengurniaan hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Yang turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

