Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar sistem pengurusan tanah perkuburan Islam di negeri ini dimantapkan segera menerusi piawaian yang seragam dan lebih efisien bagi menjamin kelangsungan tanah wakaf untuk jangka masa panjang.
Baginda bertitah, usaha tersebut disokong oleh dasar rasmi susulan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 4 Disember 2025 yang memperakukan Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Perlis.
Titah baginda disampaikan menerusi kenyataan MAIPs selepas baginda berkenan meninjau Makam DiRaja Lama Arau bersama-sama beberapa agensi berkaitan dengannya, termasuk MAIPs, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin menegaskan, penguatkuasaan garis panduan berkenaan penting bagi mengelakkan pembaziran ruang, serta kesesakan tidak terkawal di kawasan perkuburan.
Baginda turut menyarankan agar Perlis mengambil iktibar daripada amalan terbaik antarabangsa, termasuk pendekatan kesederhanaan di Perkuburan Al-Baqi’, Madinah yang menekankan penandaan kubur secara ringkas tanpa binaan kekal.
Selain itu, baginda mencadangkan penerapan konsep Perkuburan Dalam Taman seperti yang diamalkan di Singapura yang menggunakan nisan seragam di atas permukaan rumput rata bagi menjimatkan ruang dan memudahkan penyelenggaraan.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pengalaman Mesir wajar dijadikan teladan dalam pengurusan tanah perkuburan di kawasan berkepadatan penduduk tinggi tanpa mengabaikan nilai sejarah, serta penghormatan terhadap jenazah.
Pada masa sama, baginda menyeru semua pihak, khususnya jawatankuasa masjid supaya menstrukturkan semula landskap tanah perkuburan di kariah masing-masing agar lebih tersusun mengikut sistem grid seperti yang digariskan dalam garis panduan baharu.
Baginda menzahirkan hasrat untuk melihat tanah perkuburan di Perlis berubah wajah menjadi kawasan yang tenang, menginsafkan dan sedap dipandang seiring dengan pelaksanaan yang telah dibuat di beberapa tanah perkuburan sedia ada.
“Kawasan perkuburan tidak seharusnya dipenuhi semak samun atau binaan tidak sekata apatah lagi yang bercanggah dengan keputusan fatwa larangan binaan tambahan di tanah perkuburan kecuali bagi binaan terdahulu yang diwartakan sebagai warisan sejarah,” titah baginda.