Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPasir Gudang – Program Seronoknya Mengaji 3.0 berjaya menghimpunkan lebih 60 orang peserta cilik berusia enam hingga 14 tahun bagi memupuk dan menyuburkan rasa cinta kepada al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, program ini terus dilestarikan sebagai usaha strategik bagi meningkatkan kemenjadian murid, sekali gus menyokong kecemerlangan mereka merangkumi aspek akademik, rohani dan sosial.
Majlis penutupan program tersebut berlangsung dengan jayanya di Dewan Utama, Sekolah Agama Pasir Gudang 2 pada Jumaat.
Menurut Ketua Guru, Salman Nur Faris Mohd Rahim, penerapan kaedah talaqqi al-Quran menjadi pelengkap dalam penguasaan bacaan al-Quran yang bertajwid, khususnya bagi kanak-kanak sebelum mereka menginjak kepada fasa remaja.
“Selain penguasaan kualiti bacaan, pihak sekolah turut menyasarkan para peserta mampu menghafaz surah lazim, membuat pertimbangan yang baik, serta mengambil ibrah mengenai perkara yang dipelajari hasil tunjuk ajar tenaga pendidik berpengalaman,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar, Aminah Tumirin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program yang disifatkan memberikan impak yang signifikan kepada pembangunan modal insan tersebut.
“Menerusi wadah ini, kita dapat berkongsi kemahiran membaca al-Quran agar setidak-tidaknya anak kita mempunyai asas kefahaman islamiah yang kukuh dalam diri mereka.
Namun begitu, perkara yang paling utama dalam hal ini ialah mereka dapat menghayati inti pati al-Quran itu sendiri,” ujarnya.
“Sekalung penghargaan kepada barisan guru, ibu bapa, anak muda dan komuniti yang terus menyokong usaha murni ini untuk demi kehidupan yang lebih baik, di samping mencari keredaan Allah SWT,” ujarnya.
Program Seronoknya Mengaji yang mula dilaksanakan sejak tahun 2023 itu merupakan satu inisiatif yang bertujuan melahirkan generasi muda yang celik al-Quran serta mahir ilmu tajwid dalam rangka menguasai pembacaan al-Quran yang sempurna dan betul.