Diterbitkan pada 30 Januari 2026, 20:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Sesungguhnya Kami melihat wajahmu (wahai Muhammad) sering mendongak ke langit, maka akan Kami hadapkan mukamu ke kiblat yang kamu sukai. Maka itu, hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah); dan walau di mana-mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya.” (Surah al-Baqarah 2:144).

Kiblat umat Islam pada awalnya ditetapkan menghadap Baitulmuqaddis kerana Kaabah pada ketika itu dipenuhi berhala di kelilingnya. Keadaan tersebut menjadikan orang Yahudi di Madinah bersifat megah dan mengambil kesempatan memperlekehkan Nabi Muhammad SAW. Umat Islam dikatakan meniru cara beribadat orang Yahudi apabila menghadap ke Baitulmuqaddis ketika bersolat. Sikap orang Yahudi tersebut membuatkan Nabi Muhammad SAW berasa tidak senang. Setiap hari, Baginda berdoa agar Allah SWT menurunkan wahyu untuk ditukarkan arah kiblat.

Setelah berada selama 17 bulan di Madinah, akhirnya Allah SWT mengabulkan doa Rasulullah SAW untuk menukar arah kiblat umat Islam dari Baitulmuqaddis ke Baitullah al-Haram di Mekah. Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, peristiwa turunnya wahyu pertukaran arah kiblat berlaku pada 15 Syaaban tahun kedua hijrah, iaitu ketika Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sedang menunaikan solat di Masjid Bani Salamah atau dikenali sebagai Masjid Qiblatain.

Kiblat bermaksud arah menghadap Kaabah yang menjadi hala tuju umat Islam ketika menunaikan solat. Kaabah ialah lambang penyatuan umat Islam di seluruh dunia. Akan tetapi, perlu diingati bahawa Kaabah hanyalah lambang dan berperanan sebagai arah tuju beribadat umat Islam, tanpa sebarang niat menyembahnya. Hal tersebut dikatakan demikian kerana pengabdian umat Islam hendaklah tertumpu hanya kepada Allah Yang Maha Esa.

Perintah menghadap kiblat bukan hanya sekadar tuntutan ibadah, tetapi mengandungi falsafah yang sangat mendalam. Perintan ini menggambarkan umat Islam, meski berada di mana-mana sahaja, memiliki arah tujuan yang sama, iaitu untuk mendapatkan reda Ilahi. Kiblat merupakan lambang penyatuan, kebersamaan dan kekuatan ummah, selaras dengan tuntutan agama agar ummah bersatu teguh dengan berpegang pada tali Allah SWT.

Perintah menghadap kiblat membawa beberapa hikmah besar dalam pembinaan kesatuan ummah, antaranya termasuklah:

  • Pertama: Melambangkan kesatuan dan perpaduan ummah.
    Umat Islam sewaktu bersolat, menghadap ke arah kiblat yang sama tanpa mengira warna kulit, pangkat, mahupun kedudukan. Hal ini menggambarkan kesatuan dalam Islam. Satu kiblat mengingatkan umat Islam bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi sebab perpecahan. Jika dalam solat kita boleh bersatu, maka dalam kehidupan bermasyarakat juga kita wajib mengutamakan penyatuan dan menghindari perbalahan yang boleh mencetuskan perpecahan lalu mengakibatkan ummah menjadi lemah.
  • Kedua: Ketaatan tanpa berbelah bagi.
    Peristiwa perubahan arah kiblat dari Baitulmuqaddis ke Masjidilharam memperlihatkan ketaatan mutlak para sahabat terhadap perintah Allah SWT dan arahan rasul-Nya. Mereka patuh dan menerima perintah tersebut tanpa mempertikaikannya. Sifat ketaatan seperti inilah yang membentuk kekuatan umat. Jika umat Islam hari ini memiliki disiplin kepatuhan yang sama, nescaya maruah dan kegemilangan Islam akan kembali terserlah.
  • Ketiga: Membentuk kekuatan bersama.
    Umat Islam yang sehati dan sekata bersetuju menghadap arah yang sama ketika solat, membuktikan arah hati dan tujuan umat adalah sama. Antara matlamat bersama yang wajib dipelihara adalah dengan meninggikan syiar Islam, menegakkan keadilan, menjaga maruah dan kehormatan, membina negara yang aman lagi sejahtera, serta membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan. Kesatuan tersebut melahirkan kekuatan umat Islam, ibarat sebatang tubuh yang teguh dan tidak mudah digugat.

Pada hari ini, meskipun umat Islam memiliki kiblat yang sama, umat ini tetap diuji dengan perpecahan. Umat Islam kini semakin berselisih, berpecah malah bermusuh kerana perebutan kuasa, perbezaan aliran politik yang membawa kepada pertelingkahan yang melampau, sikap mudah menghukum, serta budaya menggunakan media sosial dengan cara menyebarkan fitnah dan menyalakan api persengketaan. Pada akhirnya, kesatuan umat semakin rapuh dan ummah semakin lemah.

Ummah yang lemah akan memberikan kemenangan mudah kepada musuh, ibarat boleh meratah umat Islam bagai menikmati hidangan yang lazat. Hal tersebut seperti yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadis daripada Thawban r.a. Katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Hampir terjadi pelbagai bangsa datang mengerumuni kamu sekalian (umat Islam) bagaikan orang yang lapar datang mengerumuni hidangan makanan.” Seseorang bertanya: “Apakah disebabkan kami ketika itu sedikit bilangannya?” Baginda menjawab: “Bahkan, kamu pada waktu itu ramai, namun kamu seperti buih air. Dan nescaya Allah akan mencabut daripada dada musuh kamu perasaan takut terhadap kamu, serta Allah akan melemparkan dalam hati kamu al-wahan.” Lalu seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah al-wahan itu?” Baginda menjawab: “Cinta akan dunia dan takut akan kematian.

(Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Sesungguhnya perpecahan pasti menatijahkan ummah yang lemah, menghilangkan izzah Islam, dan membuka ruang kepada musuh untuk memperleceh agama Allah SWT. Semoga kita dijauhkan daripada terlibat menjadi punca perbalahan dan perpecahan ummah. Marilah kita menghayati ibrah satu kiblat sebagai lambang untuk menyatukan hati mendukung satu perjuangan.

Umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

  • Pertama: Ummah hendaklah sentiasa bersatu atas dasar satu akidah dan satu kiblat yang sama.
  • Kedua: Kekuatan umat Islam dapat diterjemahkan melalui kesatuan hati sebagaimana kita sepakat beribadah menghalakan arah kepada satu kiblat yang sama.
  • Ketiga: Perpecahan dalam kalangan umat Islam sangat merugikan dan melemahkan usaha untuk memperkukuh Islam.
  • Keempat: Musuh Islam sentiasa mencari peluang atas kelemahan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan kita. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 30 Januari 2026, bertajuk “Satu Kiblat, Satu Umat”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi