Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan akan melaksanakan satu inisiatif terbaharunya menerusi penubuhan Kelab Mufti di dalam dan luar negara.
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, penubuhan kelab berkenaan dijangka dapat membimbing golongan belia memahami hala tuju pendidikan, pembangunan sahsiah, membina kemahiran insaniah serta peranan sosial mereka agar mampu menyumbang kepada masyarakat kelak.
Menurut beliau, langkah tersebut selari dengan usaha jabatan itu untuk menyantuni semua segmen dan lapisan masyarakat, khususnya golongan belia yang juga bakal menjadi pemegang tauliah di Wilayah Persekutuan.
Beliau menambah bahawa inisiatif tersebut juga bagi memastikan mereka dibekalkan ilmu, akhlak dan kepimpinan yang mantap sebelum memikul amanah yang lebih besar.
Selain itu, Ahmad Fauwaz memaklumkan bahawa pihaknya komited menjadi rakan strategik kepada semua pihak dengan berkongsi kepakaran khusus dalam bidang hukum, menyediakan panduan dan sokongan berterusan bagi mendekati golongan belia, sekali gus memperkasakan peranan masjid sebagai institusi penyatu ummah dan pembina masyarakat Islam berkemajuan.
“Sebagai badan berautoriti dan rujukan pelbagai peringkat umur serta agensi, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menekankan kepentingan berinteraksi secara langsung dengan golongan belia, khususnya mereka yang menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi,” katanya dalam suatu kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, jabatan itu menyambut baik saranan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan penubuhan jawatankuasa belia masjid sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembinaan generasi dan kepimpinan ummah.
“Menurut dalam tradisi Islam, masjid bukan sekadar tempat pelaksanaan ibadah ritual, bahkan berperanan sebagai institusi tarbiah, pendidikan, dakwah dan pengurusan masyarakat,” ujarnya.
“Pelibatan belia dalam institusi masjid perlu difahami sebagai satu proses pembinaan kepimpinan jangka panjang yang memerlukan perancangan rapi, bimbingan berterusan dan hala tuju yang jelas seiring dengan usaha memasjidkan remaja dan meremajakan masjid sebagai antara teras pembangunan ummah,” tegasnya lagi.
Jelas beliau, pembentukan jawatankuasa belia masjid hendaklah berasaskan prinsip utama yang kukuh seperti kefahaman agama yang sahih, penghayatan nilai akhlak dan adab Islam serta keupayaan memahami realiti dan cabaran semasa masyarakat.
“Belia masjid yang dibangunkan berasaskan kerangka ini diyakini mampu berperanan secara matang dan berkesan dalam pengimarahan masjid, selain menjadi penghubung harmoni antara institusi agama dengan komuniti setempat,” katanya.