Diterbitkan pada 17 Januari 2026, 23:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama TV AlHijrah melancarkan Tabung Dana Wakaf Media atau Wakaf Media bagi memperkukuh ekosistem dakwah Islam yang mampan dan berdaya saing pada era digital.

Menurut YWM, majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menandakan satu langkah proaktif bagi memastikan instrumen wakaf terus berevolusi mengikut keperluan zaman.

“Dalam era pascanormal, kehidupan masa ini yang dipacu oleh pendigitalan dan media massa menuntut pendekatan dakwah yang lebih progresif, kreatif dan strategik.

“Media bukan lagi sekadar saluran hiburan dan penyampaian maklumat, sebaliknya menjadi instrumen penting dalam membentuk pemikiran, nilai dan akhlak masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran tersebut.

Tambahnya, selaras dengan seruan YAB Perdana Menteri, sistem kewangan Islam perlulah lebih dinamik, adaptif, seterusnya berkembang sebagai elemen penyelesaian yang stabil dan lestari demi kesejahteraan ummah.

“Dalam konteks semasa, instrumen wakaf ini perlu diteroka secara lebih kreatif dan strategik agar terus relevan dengan cabaran zaman, termasuk dalam sektor media digital dan dakwah,” jelasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan Wakaf Media ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan bukan sahaja dari aspek ekonomi dan fizikal, bahkan merangkumi pembinaan jiwa, nilai dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Ujarnya, kerjasama strategik dengan  TV AlHijrah, sebuah stesen penyiaran Islam yang diiktiraf menerusi penerimaan Anugerah Penyedia Kandungan Islam Terbaik 2024 diyakini mampu memastikan penyampaian mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah dapat diteruskan secara konsisten dan berwibawa.

Beliau turut berharap agar inisiatif ini akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju wakaf kontemporari pada peringkat dunia Islam melalui pengurusan yang sistematik, profesional dan patuh syariah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat Malaysia MADANI yang berilmu, berakhlak dan maju.

Beliau mengajak kepada semua untuk sama-sama menyokong dan menyumbang kepada Tabung Dana Wakaf Media sebagai jambatan dakwah dan lautan ilmu yang akan terus memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Kredit Foto: Facebook YWM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi