Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeristiwa Israk dan Mikraj mengungkap suatu ibadah yang sangat istimewa di sisi Allah SWT, iaitu ibadah solat. Berbanding dengan perintah ibadah lain yang disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s., perintah mendirikan solat telah diterima oleh Nabi Muhammad SAW secara langsung daripada Allah SWT, ketika Baginda bertemu dengan-Nya dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ibadah teragung ini mempunyai hikmah yang amat besar kerana orang yang mendirikan solat dengan penuh pengabdian kepada Allah SWT, dapat mencegah diri daripada sebarang bentuk kejahatan dan kekejian.
Keindahan hidup yang sempurna tidak akan dapat dicapai apabila roh Islam tidak dibina dengan teguh dalam diri manusia. Islam umpama binaan sebuah bangunan, tiangnya ialah solat yang didirikan dengan ikhlas dan penuh pengabdian kepada Allah SWT. Solat mengandungi perkataan yang diucapkan dan perbuatan yang dilakukan dengan syarat tertentu, disempurnakan secara khusyuk terhadap Allah SWT.
Solat bukan tatacara ibadah yang hanya memperlihatkan pergerakan zahir daripada satu rukun kepada rukun; tetapi solat merupakan doa, permohonan keampunan dan keberkatan, juga melahirkan sifat terpuji serta ikatan kasih sayang yang melambangkan kerendahan hati dan kelemahan diri, mengakui kebesaran Allah SWT, lalu memohon pertolongan daripada-Nya Yang Maha Berkuasa. Solat yang didirikan dengan sempurna dapat melahirkan jiwa, pemikiran dan tubuh badan yang sejahtera, serta diri akan berkeyakinan untuk menggalas tanggungjawab dengan ikhlas dan amanah.
Ibadah solat dapat menjalinkan hubungan akrab sesama ummah, menyemai hubungan persaudaraan yang kasih-mengasihani antara satu dengan lain; berjaya membentuk umat yang teguh berpadu, kukuh bersatu, dan terhindar daripada perpecahan.
Dilaporkan tentera pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih – yang kukuh bersatu dan teguh berpadu sehingga berjaya menakluki Kota Kostantinopel, tidak pernah meninggalkan solat, malah senantiasa mendirikan solat secara berjemaah. Lebih separuh daripada mereka mendirikan solat sunat rawatib dan solat sunat malam. Amalan mengutamakan solat oleh tentera Sultan Muhammad al-Fatih sehingga dilimpahi kejayaan oleh Allah SWT, hendaklah dijadikan contoh ikutan oleh umat Islam pada hari ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 22:

Maksudnya: “Dan orang yang bersabar kerana mengharapkan keredaan Tuhannya, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menggantikan kejahatan dengan kebaikan, maka mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).”
Ayat ini menunjukkan orang yang mendirikan solat dapat mengangkat martabat dirinya. Solat walaupun pada zahirnya seolah-olah mudah dilakukan, tetapi untuk mencapai tahap solat yang khusyuk, seseorang hamba perlu bersikap teliti dan sabar. Orang yang berjaya menyempurnakan solat dengan tertib dalam gerakan rukun, serta menghayati maksud bacaan sehingga dapat merasakan kehadiran Allah SWT, akan dapat melakukan pekerjaan dengan rapi dan teratur di luar solat. Solat yang didirikan dengan sempurna berperanan sebagai benteng, memagari diri daripada perbuatan yang boleh merosakkan akal, tubuh badan, jiwa dan emosi, serta menghindari diri dari daripada kejahatan dan sifat buruk.
Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: “Pokok segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah jihad.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).
Umat Islam seharusnya menginsafi betapa pentingnya perintah mengerjakan solat, sebagaimana peringatan yang berikut:
Pertama: Solat ialah rukun Islam yang diperintahkan secara langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Solat hendaklah dijadikan tanggungjawab wajib yang didirikan lima kali sehari semalam, sebagai tanda terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya. Ibu bapa hendaklah mendidik anak secara bimbingan, nasihat, teguran hatta jika perlu dimarahi dan dihukum, demi memastikan anak mengamalkan solat lima waktu sehari semalam sebelum usia baligh.
Kedua: Tanggungjawab bersolat hendaklah diutamakan pada awal waktu, iaitu sebaik sahaja kedengaran seruan azan. Tangguhkan kerja duniawi yang lain dengan mendahulukan tanggungjawab bersolat. Lebih afdal solat didirikan secara berjemaah. Para pemimpin di pelbagai pejabat dan institusi seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik, iaitu dengan menangguhkan urusan duniawi dan bersama-sama warga kerja di tempat masing-masing mendirikan solat secara berjemaah. Insya-Allah, Allah SWT akan melimpahkan rezeki dan kejayaan yang lebih besar, di samping akan terjalinnya perasaan kasih sayang antara warga sesebuah institusi melalui ukhuwah yang terjalin ketika mendirikan solat secara berjemaah. Sedarilah, orang yang mendirikan solat dengan sempurna akan dilimpahi ganjaran dunia dan nikmat akhirat.
Ketiga: Allah SWT sentiasa memberikan perhatian kepada setiap hamba-Nya. Hargailah kasih sayang Ilahi yang sentiasa bersama-sama kita, terus memberikan kita nafas untuk hidup dan setiap hari mengurniakan rezeki dan nikmat; fahamilah cara Allah SWT mahu mengingatkan kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya, melalui pelbagai ujian ketika kita berada dalam kesusahan, atau ketika kita berduka atau ketika kita menghadapi kekecewaan. Oleh itu, peruntukan masa untuk menghadap Allah SWT, paling kurang lima kali dalam sehari semalam, menyerahkan diri dan berdoa memohon ihsan pertolongan sebaik-baik selesai mendirikan solat.
Keempat: Kejayaan terbentuk melalui kehidupan yang terurus dan terancang. Solat mendidik manusia hidup secara berdisiplin dengan tindak-tanduk yang tertib. Solat yang didirikan pada awal waktu mendidik manusia untuk menepati masa, agar kita terdidik menyiapkan kerja mengikut masa yang diperuntukkan. Perkataan yang dilafazkan dalam solat umpama suatu tekad dan janji yang harus dipenuhi, manakala pergerakan tubuh yang tertib umpama tindak-tanduk yang teliti dan berperancangan baik. Apabila tabiat ini diterjemahkan dalam urusan kehidupan, maka ummah akan mencapai martabat terpuji dan dipandang mulia.
(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 16 Januari 2026, bertajuk “Solat Mengangkat Martabat Ummah”).