Diterbitkan pada 10 Januari 2026, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kelana Jaya – Bertempat di ibu pejabat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah dilancarkan program Sinar Kasih Ramadan (SKR) 1447/2026, iaitu  inisiatif tahunan yang memasuki tahun ke-18 sejak diperkenalkan pada tahun 2008.

Ucapan alu-aluan oleh YBhg. Datin Dr. Hartini Osman, Pengerusi Sinar Kasih Ramadan.

Majlis pelancaran SKR 1447/2026 tersebut menandakan komitmen berterusan YBK bagi menyantuni keluarga fakir, miskin dan asnaf agar dapat menyambut Ramadan dengan lebih ceria.

Dikendalikan oleh YBrs. Tuan Hashim Anang sebagai pengacara, program ini bermula dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi SKR, YBhg. Datin Dr. Hartini Osman.

Perasmian SKR 1447/2026 kemudian disempurnakan oleh Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom.

YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom dan YBhg. Datin Dr. Hartini Osman bergambar bersama-sama dengan rakan strategik, penaja dan pemegang taruh program Sinar Kasih Ramadan 1447/2026, semalam.

Dalam ucapannya, YBrs. Tuan Haji Zainal Abidin, (75 tahun) menyatakan rasa kesyukuran kerana SKR mampu bertahan dan berbakti selama hampir dua dekad. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras bagi menjayakan program berkenaan.

Selepas tayangan video pelancaran, hadirin kemudian menyaksikan sesi penandatanganan Surat Persetujuan Kerjasama dengan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (Icu JPM Selangor), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Brahims Dewina Group of Companies, dan Mamee-Double Decker Sdn. Bhd., serta penyampaian cek sumbangan.

Menurut Zainal Abidin, SKR 2026/1447 menyasarkan 400 buah keluarga fakir, miskin dan asnaf untuk menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM600.00 bagi keperluan berbuka puasa dan bersahur sepanjang bulan Ramadan.

“Selain itu, bantuan barangan asas hasil sokongan rakan strategik dan penaja korporat turut diberikan,” tambah beliau.

Jelas Zainal lagi,

Sejak tahun 2008 hingga tahun 2025, SKR telah memberikan manfaat kepada 4071 keluarga dengan jumlah sumbangan tunai terkumpul mencecah RM1.5 juta yang mencerminkan kepercayaan dan sokongan berterusan masyarakat terhadap YBK.

“Program SKR bukan sekadar penyaluran bantuan, malah berfungsi sebagai platform yang “menjodohkan” pemegang taruh merangkumi penyumbang, penaja, agensi dan penerima manfaat agar bantuan dapat disampaikan secara telus, berfokus dan berimpak,” ujar beliau sambil memaklumkan bahawa untuk tahun 1447/2026, sebanyak RM100,000.00 telah dikumpulkan setakat ini.

Semua sumbangan, jelas Zainal lagi, mesti diserahkan kepada penerima sebelum Ramadan tiba. Seperti sebelum ini, tambahnya, tenaga kerja sukarela YBK dibiayai sendiri, tanpa mengambil langsung dana penaja.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Haji Mohd Khidir Majid; Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM, YBrs. Dr. Hammad Farhi Mohd. Saudi; Penasihat Kumpulan Eksekutif, Brahim’s Dewina Group of Companies, YBrs. Tuan Haji Zainudin Dollah; Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan, Mamee Double Decker Sdn. Bhd., YBrs. Encik Mohd. Hirwan Hassan Basri, rakan strategik korporat, komuniti, badan bukan kerajaan, wakil media, karyawan YBK, serta tetamu jemputan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi