Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkukuh komitmen terhadap sektor pendidikan Islam dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM280,000.00 bagi Fasa 1 Tahun 2026 ini.

Peruntukan tersebut diserahkan kepada dua institusi, iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maad yang menerima sebanyak RM80,000.00 dan Sekolah Agama Al-Islahiyyah Menengah (SAIM), Behor Mali yang menerima sebanyak RM200,000.00.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs, semalam.
Turut berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Penyerahan berkenaan dilaksanakan dalam Program Hijrah Minda Bilangan 2 Tahun 2026 anjuran MAIPs sebelum keberangkatan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menunaikan solat Jumaat bersama-sama anak kariah Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit, Kangar.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor menjelaskan bahawa penyaluran dana ini merupakan sebahagian daripada strategi besar MAIPs untuk memastikan sekolah agama di negeri ini kekal kompetitif.
“Sumbangan ini bertujuan untuk menyokong keperluan pengurusan dan pembangunan prasarana di kedua-dua buah sekolah berkenaan. MAIPs sentiasa melihat institusi pendidikan Islam sebagai wadah utama bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki sahsiah yang unggul,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan setiap peruntukan memberikan impak yang maksimum terhadap kebajikan pelajar.
“Penyaluran Fasa 1 ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah melaksanakan perancangan tahunan mereka dengan lebih efisien, terutamanya bagi meningkatkan kualiti pendidikan yang holistik dan berteraskan nilai Islam,” tambah Mohd Nazim.
Sumbangan bagi SMA Al-Maad telah diterima oleh Pengetuanya, Haji Idris Ahmad, manakala bagi SAIM Behor Mali diterima oleh Encik Zulkifly Rahmat.
Langkah ini membuktikan bahawa peranan proaktif MAIPs demi memastikan kelestarian institusi pendidikan Islam di Perlis terus relevan untuk mendepani cabaran pendidikan masa ini.