Diterbitkan pada 6 Januari 2026, 21:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan lebih RM2.7 juta bantuan zakat kepada 4375 orang penerima melalui 91 siri kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2025.

Kesemua sesi kayuhan diketuai oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs yang berkenan berangkat menyantuni serta menyampaikan bantuan secara langsung kepada para penerima terpilih melalui kunjungan ke masjid, kampung, serta sekolah di hampir keseluruhan negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, jumlah keseluruhan kayuhan yang telah dilaksanakan sejak aktiviti ini diperkenalkan pada tahun 2013 kini mencecah 1069 kali.

“Usaha berterusan ini telah memberikan manfaat kepada sebanyak 49 800 orang penerima hingga hari ini, dengan jumlah keseluruhan agihan MAIPs mencecah nilai RM32,074,600.00.”

“Pencapaian ini sekali gus mencerminkan iltizam berterusan MAIPs untuk memperkasakan kebajikan golongan asnaf di Perlis,” jelas beliau dalam Jamuan Makan Malam Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025 yang diadakan di Bangunan Darul Qada’ Tuanku Syed Sirajuddin, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Kangar, baru-baru ini.

Berkenan berangkat ialah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama anakanda kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang zakat melalui MAIPs.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program Kayuhan MAIPs Peduli, khususnya kepada seluruh warga kerja MAIPs serta rakan strategik lain baik agensi atau jabatan mahupun individu perseorangan yang telah bertungkus lumus menjayakan gerak usaha ini sepanjang tahun 2025 dan memastikan kelangsungannya.

Baginda turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan Kayuhan MAIPs Peduli yang akan diteruskan pada tahun 2026 dapat diperkasakan lagi menerusi pendekatan yang lebih berimpak, holistik dan efisien, selari dengan komitmen berterusan membantu dan meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf di Perlis untuk berusaha terus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi