Diterbitkan pada 2 Januari 2026, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Gema Syukur 2026 yang berlangsung dari 31 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026 tampil dengan pendekatan baharu, menyantuni jiwa masyarakat melalui gabungan hiburan mendidik, kesyukuran, muhasabah dan doa demi kesejahteraan negara.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dalam ucapannya, beliau berkata, Gema Syukur 2026 merupakan inisiatif JAKIM untuk membangkitkan kesedaran rohani dalam kalangan masyarakat.

“Program Gema Syukur 2026 merupakan inisitif untuk membangkitkan kesedaran rohani agar kita dapat bermuhasabah, mensyukuri nikmat usia dan memperbaharu tekad sebagai hamba Allah SWT,” katanya.

“Program ini juga bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang subur dengan amal kebaikan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” tambahnya.

Menurut beliau, program itu dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Penganjuran ini merupakan inisiatif strategik yang dilaksanakan bersama-sama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MyFundAction dan Du‘at AlFalah serta disokong oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pelibatan institusi masjid, agensi kerajaan dan NGO dalam bidang kebajikan serta pembangunan ummah sebagai pendekatan menyeluruh masyarakat.

“Pelibatan pelbagai rakan strategi melambangkan pendekatan segenap masyarakat bagi memperluas manfaat program kepada masyarakat,” jelasnya.

Dato’ Dr. Sirajuddin berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan Gema Syukur 2025, yang berjaya menarik ribuan penyertaan dari seluruh negara.

“Sambutan yang memberangsangkan, khususnya daripada golongan muda membuktikan bahawa pendekatan pengisian kerohanian dan keilmuan semakin diterima sebagai satu keperluan,” katanya.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan nilai insani secara holistik berteraskan prinsip ihsan, hormat, kesejahteraan dan keyakinan,” ujarnya.

Selaras semangat kesyukuran dan keprihatinan sosial, program itu turut menyantuni 100 orang asnaf melalui penyaluran bantuan.

“Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM200 kepada setiap penerima, manakala MyFundAction menyumbangkan bakul makanan asas,” katanya.

“Inisiatif MADANI ini diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban golongan asnaf, di samping menyemai kesyukuran serta memberikan sinar harapan kepada masyarakat ketika menyambut kehadiran tahun baharu,” ujarnya.

Kredit Foto: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi