Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMadinah – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menziarahi Muzium Antarabangsa Sirah Nabawi dan Sejarah Islam Madinah yang terletak di dalam perkarangan Masjid Nabawi, semalam.
Kunjungan baginda bersama-sama dengan waris kedua negeri Perlis iaitu, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail telah disambut baik oleh Pengurus Besar Muzium, Yahya Attia al-Kinani.
Yang turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yang Berbahagia (YBhg.) Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Timbalan Konsul Haji Jeddah, Haji Affandi Abdullah.
Menurut kenyataan MAIPs, baginda juga hadir bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, DYAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah dan DYAM Hajah Sharifah Farah Adriana. Keluarga diraja ini berangkat menziarahi bumi Madinah al-Munawwarah sebelum meneruskan ibadah umrah di Mekah.
Pembangunan kandungan pameran yang terdapat di dalam Muzium Antarabangsa Sirah Nabawi dan Sejarah Islam Madinah dilaksanakan melalui penyelidikan yang mendalam oleh sekumpulan ulama, sejarawan dan pakar sirah antarabangsa dengan rujukan utama bersumberkan muktabar al-Quran, hadis sahih serta karya klasik dan kontemporari dalam bidang sirah Nabawiyyah dan sejarah Islam.
Pendekatan pameran muzium berprestij ini turut menggabungkan penggunaan teknologi interaktif moden, termasuk visual multimedia, replika bersejarah dan paparan kronologi yang memberikan penekanan kepada nilai dakwah, akhlak serta kepimpinan Rasulullah SAW.
Berdasarkan rekod, Muzium Antarabangsa Sirah Nabawi dan Sejarah Islam Madinah ini mula dibuka secara rasmi pada tahun 2021 hasil inisiatif Liga Dunia Islam dengan kerjasama pihak kerajaan Arab Saudi. Tujuan pembukaan muzium ini adalah untuk menunjukkan kepada warga dunia tentang perjalanan hidup Rasulullah SAW serta perkembangan tamadun Islam berlandaskan kajian ilmiah yang sahih dan berautoriti.
