Diterbitkan pada 12 Disember 2025, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutinya dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan (yang lain daripada Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itulah Allah memerintahkan kamu supaya kamu bertakwa.

(Surah al-An‘am 6:153)

Ajaran sesat bermaksud ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam. Penyebarannya boleh menghakis atau menafikan asas kebenaran akidah, lantas menyebabkan hidup seseorang terjerumus melakukan dosa besar. Ajaran ini juga mendorong pengikutnya melakukan perbuatan syirik dan khurafat, menolak konsep kenabian atau meremehkan syariat atas alasan kononnya mereka telah mencapai maqam yang lebih tinggi.

Ayat 153 Surah al-An‘am mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh pada akidah yang benar berlandaskan al-Quran dan sunah, iaitu jalan Rasulullah SAW, para sahabat serta ikutan atau mazhab aliran Ahli Sunah Waljamaah.

Salah faham terhadap nas agama menjadi punca kemunculan ajaran sesat. Terdapat beberapa ciri ajaran sesat yang menyimpang daripada akidah Islam:

Pertama: Kepercayaan yang menyalahi rukun iman dan asas akidah, serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Kedua: Mempertikaikan sumber utama syariat Islam seperti meragui kebenaran wahyu al-Quran dan menolak kesahihan hadis Rasulullah SAW.

Ketiga: Mendakwa diri sebagai nabi, imam Mahdi atau mendakwa menerima wahyu melalui mimpi, lalu menjadikannya hujah untuk dilantik sebagai pemimpin akhir zaman.

Keempat: Meletakkan kedudukan agama Islam setaraf dengan agama lain untuk dijadikan anutan.

Kelima: Sikap taasub dengan mendewakan diri sendiri atau pemimpin tertentu, kononnya mempunyai kedudukan istimewa seperti ahli syurga, penebus dosa, serta memiliki kelebihan khusus yang ternyata melanggar batas syarak.

Keenam: Mencipta pelbagai hukum baharu yang bercanggah dengan maqasid syariah, tidak disandarkan kepada sumber hukum yang disepakati dan menafikan kewajipan pelaksanaan ibadah fardu.

Negeri Perak telah menetapkan bahawa Ahli Sunah Waljamaah ialah golongan umat Islam yang berpegang dengan manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi serta manhaj Athar dalam aliran akidah. Manhaj Ahli Sunah Waljamaah merupakan manhaj yang selamat, sejahtera, serta mengambil pendekatan pertengahan dan seimbang antara dalil naqli dengan dalil aqli.

Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu berwaspada terhadap kumpulan yang telah bertapak di negeri Perak menyebarkan ajaran sesat sebagaimana difatwakan atau diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, antaranya termasuklah:

Pertama: Ajaran Si Hulk yang mendakwa Nabi Muhammad SAW ialah Tuhan dan Baginda tidak mempunyai jantina, iaitu bukan lelaki dan bukan perempuan.

Kedua: Ajaran Allah Muhammad, Muhammad Allah (AMMA) yang menyatukan sifat ketuhanan dengan kemanusiaan, mendakwa “Muhammad” yang disebut dalam kalimah syahadat bukanlah Nabi Muhammad SAW, sebaliknya Muhammad al-Awwal yang merupakan bukan makhluk dan bukan Tuhan.

Ketiga: Kumpulan bidaah yang disenaraikan sesat merangkumi Syiah, Khawarij, Mujassimah, Musyabbihah, Muktazilah, Batiniah, liberalisme, pluralisme, Wahhabiah, Salafiah Jihadiah dan mana-mana fahaman yang membawa kepada takfir dan keganasan.

Selain itu, terdapat ajaran sesat yang diputuskan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI), dikesan mula mengembangkan pengaruhnya di negeri Perak seperti:

Pertama: Ajaran sesat yang bertapak di Slim River, berselindung di sebalik kegiatan perniagaan. Ajaran ini diperkenalkan oleh Irwan Alias melalui Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN). Selain mengubah dua kalimah syahadat, ajaran ini mengadakan majlis zikir yang bercampur antara lelaki dengan perempuan, serta mengajar konsep penyatuan diri dengan Tuhan yang jelas bercanggah dengan akidah Islam.

Kedua: Ajaran kumpulan Perjalanan Mimpi yang Terakhir (PMYT) diperkenalkan oleh Masitah Ab Jalar yang mendakwa menerima wahyu, mempunyai pengikut serta mengerahkannya membentuk pasukan ketenteraan untuk mencari dan berbaiah dengan imam Mahdi.

Ajaran sesat dan menyeleweng daripada akidah yang benar mendatangkan pelbagai kesan buruk, menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan berpotensi menggugat kestabilan negara. Pengikut ajaran sesat diancam oleh dosa besar, diselubungi kegelapan, malah mengarahkan keadaan kehidupan yang lebih sukar. Mereka berisiko ditipu dan diperalatkan, bahkan berkemungkinan kehilangan wang ringgit akibat sifat taasub, dituntut menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin secara membuta tuli.

Oleh itu, ummah wajib berwaspada terhadap ajaran sesat. Ummah hendaklah berpegang teguh dengan akidah yang benar dan dijamin menyelamatkan mereka daripada azab api neraka selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: … dan umatku akan berpecah kepada 73 kumpulan. Semuanya dimasukkan ke dalam neraka kecuali satu kumpulan. Sahabat bertanya: “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka yang berada atas jalanku dan para sahabatku.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2641)

Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa menghindarkan diri daripada kesesatan menerusi beberapa langkah seperti yang berikut:

Pertama: Mendalami ilmu tauhid berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi tunjang pembentukan jati diri agar tidak mudah terpengaruh menjadi pengikut kumpulan ajaran sesat.

Kedua: Rujuk pihak berkuasa agama sekiranya ragu-ragu terhadap mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi umat Islam untuk mengikuti ajaran mereka.

Ketiga: Segera bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT sekiranya telah terjebak dengan ajaran sesat. Segeralah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Keempat: Berpegang teguh pada akidah Ahli Sunah Waljamaah aliran al-Asya‘irah dan al-Maturidiyah seperti yang difatwakan di negeri Perak Darul Ridzuan demi mengukuhkan kesatuan ummah.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 12 Disember 2025, bertajuk “Ajaran Sesat, Ancaman Akidah”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi