Diterbitkan pada 7 Disember 2025, 18:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.

Menurut AirAsia, polisi tersebut selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi berterusan yang dibentuk daripada maklum balas oleh semua pihak.

“AirAsia berbangga untuk mewujudkan persekitaran kerja apabila setiap Allstar berasa yakin, selesa dan berbangga mewakili syarikat penerbangan di mana-mana sahaja mereka terbang,” kata AirAsia dalam kenyataan, semalam.

Menurut AirAsia, kru kabin sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih seperti Jeddah, sebagaimana yang diwajibkan oleh peraturan tempatan.

“Pembaharuan  ini dilakukan bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan konsistensi jenama di seluruh rangkaian,” jelas AirAsia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, beliau berasa bangga kerana pembaharuan ini memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai yang membuktikan komuniti dan budaya yang dihubungkan setiap hari.

“Pakaian seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” tambah beliau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes pula, salah satu kekuatan terbesar AirAsia sentiasa terletak pada Allstar yang mempunyai pelbagai pendapat.

“Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, penting bagi kami untuk menilai selain menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza-beza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun,” jelasnya.

Tambah beliau, hal yang demikian merupakan cara AirAsia berkembang dengan berevolusi bersama-sama, iaitu berdasarkan pandangan daripada kakitangan mereka.

Kredit Foto: AirAsia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi