Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmen sosialnya di Perlis melalui penyaluran Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2024 berjumlah RM1,000,000.00 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sumbangan ini mencerminkan kesinambungan tanggungjawab TNB bagi menyantuni golongan asnaf serta menyokong agenda pembangunan sosial negeri secara mampan dan berkesan.
Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, YBrs. Ir. Mahathir Nor Ismail, penyaluran zakat ini ialah manifestasi komitmen berterusan TNB terhadap umat Islam di Perlis.
Maklumat ini dipersembahkan oleh beliau kepada Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bersempena dengan program berkayak anjuran TNB Perlis dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis di Kampung Wai, Kuala Perlis.
Keberangkatan baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, YAM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Ketua (Peruncitan dan Pihak Berkepentingan–Perlis) TNB, YBrs. Encik Abd Manan Abd Rahman.
Program pada petang tersebut turut diserikan dengan penyampaian bantuan kepada 80 orang penerima asnaf terpilih, selain sumbangan bernilai RM2,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq oleh pihak TNB.
Menurut Mahathir, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR).
“Pada tahun ini, dua PBJ dan dua PMR dilaksanakan di Perlis, yang merupakan kesinambungan projek rakyat sebagaimana dilaksanakan pada tahun yang lalu,” ujarnya.
Kedua-dua inisiatif ini membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah serta menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada mereka.
TNB juga menyokong pembangunan sukan di Perlis melalui program sekolah angkat hoki bersama SMK Syed Hassan, Kangar sejak tahun 2024. Sumbangan TNB termasuk menaja peralatan serta kelengkapan pasukan, dan pasukan tersebut muncul Juara Zon Utara 2024 untuk Divisyen, dalam peringkat kebangsaan.
TNB turut melaksanakan Program PINTAR di Perlis melalui Sekolah Kebangsaan Kampong Serdang, Simpang Ampat, yang menjadi sekolah angkat bagi tempoh tahun 2025–2027.
Sebagai sebahagian daripada 13 sekolah PINTAR TNB, sekolah ini menerima sokongan pendidikan dan kelengkapan pembelajaran bagi membantu meningkatkan peluang akademik murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Perkara ini bukan sekadar kewajipan, tetapi amanah untuk memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” tegas beliau.
Mahathir turut menambah bahawa dengan pelaksanaan program zakat dan pelbagai inisiatif komuniti secara konsisten, TNB beriltizam untuk terus menjadi rakan pembangunan sosial yang teguh bagi Perlis dan seluruh Malaysia.