Diterbitkan pada 7 Disember 2025, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjung Lumpur – Mahasiswa Kursus Falsafah Isu Semasa dengan kerjasama Pertubuhan Wadah Ilmu Siswa dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) telah menganjurkan Program Gaza: The Unbroken Resilience semalam di Dewan Auditorium, Kampus Utama, Universiti Kolej Yayasan Pahang.

Program ini bertujuan menunjukkan solidariti mahasiswa terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza.

Pencetus Ummah dan penceramah bebas, PU Rahmat Ikhsan, yang juga merupakan seorang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia pada Oktober lalu, hadir menyampaikan ceramah utama program berkenaan.

“Kita hendaklah setia dengan perjuangan saudara seagama kita di bumi Palestin dan mengambil iktibar akan ketabahan mereka memperjuangkan kedaulatan tanah air daripada Zionis Israel,” katanya ketika menyampaikan ceramah tersebut.

GSF ialah misi kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan memecahkan sekatan Gaza, yang menyaksikan 23 orang sukarelawan Malaysia ditahan oleh Zionis Israel ketika misi itu digerakkan.

Program berkenaan turut disertai sebanyak 100 mahasiswa Universiti UCYP yang hadir bagi menyatakan sokongan, tanpa mengira bangsa dan agama, sekali gus menunjukkan jiwa solidariti dalam menolak penindasan terhadap rakyat Palestin.

Sambutan yang penuh bermakna ini menandakan kebersamaan semua pihak dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan dan kekejaman Zionis Israel.

Dalam ceramah tersebut, beliau turut berkongsi pengalaman beliau semasa menjadi anggota sukarelawan GSF.

“Anggota sukarelawan tersebut datang secara aman bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza, namun telah dipintas dan dihalang oleh Zionis Israel,” jelasnya.

Tambah beliau, anak muda khususnya generasi Z seharusnya lebih bersemangat dan berani mara ke hadapan untuk menyertai misi kemanusiaan GSF pada masa akan datang.

Perkongsian yang sarat dengan pengalaman dan ilmu itu turut menekankan keberanian serta perjuangan umat Islam dan bukan Islam bagi menegakkan keadilan serta nilai kemanusiaan sejagat.

Selain itu, program ini turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan al-Gazel serta bacaan Qunut Nazilah.

Para peserta memenuhi dewan sepanjang Program Solidariti Palestin yang sarat dengan pengisian ilmiah dan pencerahan mengenai isu kemanusiaan global di Palestin

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi