Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAsia Tenggara ketika ini sedang bergelut dengan bencana paling dahsyat dalam sejarah moden. Bukan satu negara, bukan dua, bahkan hampir seluruh rantau ini ditenggelami “air mata langit” sejak November 2025. Banjir besar, tanah runtuh dan ribut ekstrem berlaku secara serentak, menenggelamkan kota, meratakan desa, memutuskan jaringan jalan dan meragut nyawa tanpa belas kasihan. Fenomena ini memaksa kita mengajukan persoalan yang lebih mendalam daripada statistik korban:
Apakah kita sedang menyaksikan bencana alam semata-mata, atau sebenarnya suatu teguran Tuhan terhadap tamadun manusia yang semakin hilang akal, hilang adab dan hilang amanah?
Vietnam: Luka yang Tersingkap di Hadapan Dunia
Vietnam muncul sebagai pentas tragedi paling menyayat hati. Lebih 90 nyawa terkorban dan ribuan rumah musnah. Wilayah Dak Lak, Lam Dong serta Khánh Hòa kini seakan-akan medan pertempuran antara manusia dengan alam. Kerajaan Vietnam menyifatkan banjir pada tahun ini sebagai “luar jangka dan amat berbahaya”. Namun begitu, jauh di sebalik bahasa teknikal tersebut, terserlah satu hakikat yang pahit:
Kita tidak lagi berhadapan dengan alam yang jinak, tetapi alam yang dipaksa ‘marah’ akibat perbuatan manusia.
Malaysia: Utara Semenanjung Menjadi Garis Hadapan Krisis Iklim
Malaysia pula memasuki episod kebimbangan baharu. Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak kini berada dalam zon merah berisiko tinggi. Arus deras menghakis rumah, sawah dan jalan raya. Kelantan dinaiki air, mengingatkan kita pada trauma banjir pada tahun 2014 yang masih segar dalam ingatan. Walau bagaimanapun, krisis kali ini jauh lebih kompleks. Kita sedang menghadapi suatu cuaca yang ekstrem, tadbir urus bencana yang masih bertatih, tekanan ekonomi dan sosial, serta ketidakpedulian masyarakat dek semakin terbiasa dengan bencana saban tahun. Adakah kita semakin kebal terhadap kesakitan, atau hati kita semakin keras?
Indonesia: Sumatera dalam Lingkaran Darurat
Di Sumatera, hujan ekstrem berhari-hari memaksa pemerintah mengisytiharkan darurat besar. Aceh menanggung penderitaan ribuan mangsa, Sumatera Utara kehilangan puluhan nyawa, manakala Sumatera Barat mengalami kerosakan infrastruktur yang melumpuhkan pergerakan dan kehidupan harian.
Lebih memburukkan keadaan, kawasan pesisir seperti Jakarta, Jawa Barat dan Bali berpotensi mengalami ancaman banjir laut akibat kenaikan paras air global. Fenomena selama ini yang kita anggap hanya menimpa negara pulau jauh di Lautan Pasifik, kini “mengetuk pintu” Nusantara sendiri. Asia Tenggara bukan sahaja menerima hujan, tetapi sedang menerima isyarat ketamadunan. Para saintis menjelaskan bahawa tiga fenomena besar sedang bertembung secara serentak:
Gabungan ini membentuk compound regional disaster, iaitu suatu bencana berskala rantau, bukan lagi bersifat tempatan atau nasional. Bagi umat Islam, penjelasan saintifik ini hanyalah sebahagian daripada jawapan. Al-Quran mengingatkan kita menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Telah zahir kerosakan di darat dan di laut akibat tangan manusia sendiri… .” (Surah al-Rum 30:41). Ayat ini bukan menggambarkan bencana sebagai azab semata-mata, tetapi refleksi moral kepada pelanggaran manusia terhadap keseimbangan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Sarjana kontemporari, Profesor Dr. Ibrahim Özdemir menegaskan bahawa krisis iklim pada hakikatnya ialah krisis etika. Manusia membina tamadun yang maju dari sudut teknologi, tetapi kosong pada spiritualnya. Kita memusnahkan hutan, melumpuhkan sungai dan membina bandar tanpa memikirkan nasib generasi akan datang. Hal ini disebut oleh al-Ghazali sebagai fasad al-qulub, kerosakan hati yang akhirnya membawa kerosakan pada bumi.
Bencana dan Teguran Ilahi: Kita Sedang Lupa Diri
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada suatu kaum yang maksiat dilakukan dalam kalangan mereka, sedangkan mereka lebih berkuasa dan lebih mampu (untuk mencegahnya) daripada orang yang melakukannya, kemudian mereka tidak mengubahnya (tidak mencegahnya), melainkan Allah akan menimpakan ke atas mereka azab secara menyeluruh.” (Hadis riwayat Ahmad, no. 19 230).
Walaupun hadis ini tidak merujuk fenomena alam secara langsung, para ulama mentafsirkan bahawa masyarakat yang membiarkan kezaliman, kerosakan dan pengabaian amanah bakal berhadapan dengan kesan sosial dan fizikal. Jika kita menilai keadaan dunia pada hari ini, korupsi, kerakusan ekonomi dan ketidakadilan sosial berleluasa, peperangan tidak berkesudahan, kezaliman terhadap bumi dan manusia berlaku tanpa henti. Apakah kita benar-benar terkejut apabila alam “menjerit” dalam bentuk banjir dan ribut?
Di Malaysia sendiri, isu integriti, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa masih menjadi permasalahan utama. Alam sekitar ditebang tanpa rasa bersalah. Pembangunan rakus “memijak” prinsip kelestarian. Kita sekadar mengumpul statistik banjir saban tahun seolah-olah hal itu sudah mencukupi sebagai suatu usaha sedangkan al-Quran memberikan peringatan tegas yang bermaksud, “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi setelah Allah memperbaikinya… .” (Surah al-A‘raf 7:56). Ayat ini menuntut kita memulihkan alam sekitar, bukan merosakkannya. Malangnya, tamadun moden yang bergerak songsang mempercepat kerosakan dan memperlahankan pemulihan.
Mengapa Tamadun Kita Tidak Belajar?
Persoalan ini paling menyakitkan. Banjir pada tahun 2004, 2011, 2014, 2021, 2023, dan kini, tahun 2025 membawa “jeritan” yang sama. Sebaik air bah surut, manusia tetap kembali kepada rutin lamanya. Kita menunggu bencana datang, kemudian memadam dan mengulanginya semula. Sarjana Muslim kontemporari, Profesor Dr. Ziauddin Sardar menegaskan bahawa tamadun yang gagal beradaptasi ialah tamadun yang perlahan-lahan menuju keruntuhan. Adaptasi bukan sekadar melibatkan kemajuan teknologi, tetapi merangkumi perubahan sikap, budaya, akhlak dan nilai. Namun begitu, kita masih berfikir dalam logik seperti dahulu, iaitu menutup lubang selepas banjir, bukan mencegah banjir sebelum ketibaannya.
Malaysia dan Rantau Asia Tenggara Perlu Perubahan Nilai
Bencana pada tahun ini mendedahkan empat “penyakit besar” di Asia Tenggara:
Hutan digondol, bukit ditarah, laluan sungai disempitkan demi memenuhi nafsu pembangunan.
Kita menunggu air naik sebelum bertindak, bukan bertindak sebelum air naik.
Tatkala gambar banjir tular, emosi masyarakat memuncak untuk sehari dua, sebelum pudar dan kembali dilupakan.
Modeniti sememangnya memberi kita keupayaan menakluk alam, tetapi pada masa yang sama melucutkan rasa tawaduk terhadap Penciptanya.
Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan harta kalian, tetapi melihat hati dan amalan kalian.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2564). Jika hati pemimpin dan rakyat, serta institusi memiliki integriti, kasih sayang dan rasa tanggungjawab, maka cara kita mengurus bumi sudah pasti berbeza daripada pendekatan yang kita ambil ketika ini.
Menuju Tamadun yang Berdamai dengan Alam
Untuk bangkit daripada krisis ini, Asia Tenggara perlu membina tamadun yang tidak lagi bermusuh dengan alam melalui beberapa mekanisme seperti yang berikut:
Pembangunan mesti bertunjangkan maqasid syariah, termasuk penjagaan bumi (hifz al-bi’ah).
Umpamanya, binaan parit yang direka pada era 1980-an bukan lagi untuk menampung ribut ekstrem pada tahun 2025.
Tindakan mengurangkan pembaziran, menjaga sungai, memelihara hutan merupakan suatu ibadah kerana tuntutannya sebahagian daripada ajaran yang terkandung dalam Islam.
Tanpa integriti, segala kemajuan dan teknologi hanyalah bersifat alat kosmetik.
Asia Tenggara harus belajar bahawa kesengsaraan sesebuah negara menjadi pengajaran dan peringatan buat negara lain. Saintis Muslim, Dr. Saleemul Huq dari Bangladesh pernah berkata: “Kita bukan sekadar menghadapi perubahan iklim, tetapi kita sedang berhadapan dengan perubahan moral.” Perubahan moral yang baik memerlukan pembangunan tamadun yang berakar pada iman.
Bencana Ini Sedang Berbicara dan Apakah Kita Mendengar?
Banjir besar pada tahun ini ibarat cermin yang memantulkan wajah sebenar kita. Kehadirannya menguji sejauh manakah kita menghargai bumi, menjaga amanah dan menghayati ajaran Islam dalam pembinaan tamadun yang seimbang? Air bah yang “meratah” bandar dan desa membawa satu pesanan yang jelas, iaitu alam tidak pernah derhaka kepada Tuhannya. Pada hakikatnya, manusialah yang derhaka terhadap amanah mereka. Selagi kita tidak berubah, bencana tidak akan berhenti. Akan tetapi, jika kita kembali kepada nilai Islam yang berpaksikan pada integriti, ihsan, keseimbangan, kasih sayang dan tanggungjawab, insya-Allah bumi ini akan kembali menjadi sahabat, bukan musuh.
Profesor Madya Dr. Zaizul Ab. Rahman merupakan seorang pensyarah kanan di Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Psikologi Agama, Kesihatan Mental Islam, Pembangunan Insan, Pemikiran Islam dan Keluarga Islam.