Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru semua pihak, termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pemimpin masyarakat dan agamawan agar memperkukuh program pendidikan empati terhadap orang kurang upaya (OKU).
Bersempena dengan Sambutan Hari OKU Kebangsaan pada tahun ini, ABIM menegaskan bahawa masyarakat perlu mengubah sikap dan sistem bagi memastikan golongan OKU menjadi sebahagian daripada kepimpinan masa hadapan negara.
Menurut ABIM, golongan OKU masih kurang diberikan perhatian sewajarnya dari aspek dasar dan pembangunan negara.
Pihaknya turut menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir rakyat Malaysia yang kurang cakna dan empati berkaitan dengan hak, potensi dan sumbangan golongan berkenaan.
“Kelemahan dari sudut dasar, persekitaran fizikal, penyampaian maklumat serta kekurangan prasarana mesra OKU menutup banyak peluang mereka untuk berkembang sebagai individu dan pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
ABIM menambah bahawa status Malaysia sebagai negara menua menjelang tahun 2030 bakal meningkatkan jumlah warga emas yang berisiko menjadi OKU akibat penyakit kronik dan kemerosotan fungsi tubuh.
Oleh itu, katanya, generasi muda perlu dipupuk dengan nilai keinsanan, empati dan kemahiran kepimpinan inklusif supaya mereka bersedia menyantuni ibu bapa yang memasuki usia lanjut, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pusat jagaan warga emas.
Pada masa yang sama, ABIM juga menegaskan bahawa Kepimpinan Inklusif OKU amat penting sebagai asas pembinaan masyarakat penyayang.
Jelasnya, kepimpinan inklusif menuntut pembentukan pemimpin yang empati, memahami keperluan OKU dan berupaya menyantuni mereka dengan penuh ihsan.
Oleh itu, langkah memperkasakan kepimpinan tersebut perlu diperluas kepada pemimpin pelajar, persatuan belia, pemimpin masyarakat, serta pengurusan masjid dan rumah ibadah.
Dalam pada itu, pihaknya menyambut baik inisiatif Latihan Kesaksamaan Orang Kurang Upaya dan Kepimpinan Inklusif (DETAIL) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang melatih pemimpin pelajar universiti awam dan swasta.
“Usaha sebegini wajar dicontohi dan diperluas kepada kementerian lain, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, institusi pendidikan serta masjid bagi meningkatkan empati dan kefahaman terhadap kehidupan OKU,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menjulang komitmen memperkukuh kesedaran OKU, ABIM meneruskan kempen “Cakna OKU: Hidupkan Sunnah yang Dilupakan” sebagai usaha memupuk nilai kemanusiaan dan ihsan melalui pendidikan masyarakat serta pembangunan pendidik dan dai inklusif.
Menyentuh tuntutan ABIM mengenai perjuangan kebajikan OKU, pihaknya menyarankan rakyat Malaysia agar meningkatkan kecaknaan dan empati melalui pendidikan masyarakat, latihan kesedaran dan penghayatan nilai ihsan.
“Kerajaan dan sektor swasta perlu memperkukuh peluang pekerjaan OKU dengan sasaran sekurang-kurangnya satu peratus tenaga kerja.
“Sistem sokongan OKU perlu diperkasakan, khususnya dari segi prasarana mesra OKU di sekolah, institusi pengajian tinggi, masjid, hospital, pengangkutan awam dan bangunan kerajaan,” ujarnya.
ABIM turut menyatakan bahawa akses OKU terhadap pendidikan Islam perlu diperluas menerusi penganjuran kelas agama, masjid mesra OKU, al-Quran Braille serta bahan pembelajaran yang sesuai, selain program Kepimpinan Inklusif OKU untuk melatih pemimpin pelajar, pemimpin belia, imam, pentadbir masjid dan pemimpin komuniti agar memahami keperluan dan hak golongan tersebut.
Begitu juga, penyelidikan akademik berkaitan dengan OKU perlu digalakkan bagi memperkukuh dasar, teknologi bantu dan strategi pembangunan masyarakat inklusif.
Sementara itu, Sambutan Hari OKU Kebangsaan diraikan setiap 3 Disember, mengangkat tema “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial” pada tahun ini yang menuntut komitmen masyarakat untuk memastikan golongan OKU mendapat ruang, pengiktirafan dan sokongan sewajarnya dalam proses pembangunan negara.