Diterbitkan pada 29 November 2025, 19:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar Mangsa banjir di Perlis diingatkan mendaftar terlebih dahulu di bawah bantuan rasmi bencana, iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Pendaftaran dibuat apabila mangsa hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengimbas kod QR melalui aplikasi MyIBJKM untuk melengkapkan maklumat diperlukan oleh NADMA.

Bagi kes kerosakan rumah melibatkan struktur, seperti sebahagian kediaman runtuh atau dihanyutkan arus, mangsa diminta segera membuat laporan polis dan mengemukakannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis.

Kerosakan kecil kebiasaannya ditangani oleh JKM, manakala kerosakan besar atau teruk akan dirujuk oleh JKM kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tindakan sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, menegaskan bahawa MAIPs sentiasa prihatin dan bersedia membantu, terutama kes yang dirujuk secara rasmi melalui JKM.

“Untuk kes kediaman, mangsa turut disaran merujuk Amil Kariah bagi penilaian awal kerana syarat penerima bagi kerosakan rumah tertakluk kepada kelayakan asnaf. Manakala Bantuan Sara Hidup MAIPs untuk kelangsungan hidup pula diproses seperti biasa mengikut kaedah sedia ada,” jelas beliau.

Beliau menambah bahawa MAIPs komited bekerjasama erat dengan kerajaan negeri, NADMA, JKM, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), dan semua agensi berkaitan dalam memastikan kebajikan mangsa bencana dipelihara.

Mohd Nazim berkata demikian selepas mengiringi DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau operasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perlis di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kangar, baru-baru ini.

Turut berangkat, DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama-sama dua puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Raja Muda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, bukan kerajaan, sukarelawan serta individu yang membantu mengurus bencana, di samping merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang prihatin terhadap mangsa banjir.

Keberangkatan baginda disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Rahimi Ismail; Pegawai Kewangan Negeri Perlis, YBrs. Saharuddin Saraan, serta Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud.

Dalam sesi lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda dipersembah maklum mengenai perkembangan semasa penyelarasan operasi bencana di seluruh negeri.

PKOB bertindak sebagai pusat utama mengumpul maklumat situasi, menyelaras bantuan logistik serta memastikan keperluan asas disalurkan secara cepat dan berkesan kepada mangsa.

PKOB Negeri Perlis turut bersidang dua kali sehari bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan dan semua agensi kekal berada pada tahap kesiapsiagaan optimum sepanjang tempoh banjir dan pasca banjir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi