Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan Dapur Cakna MAIPs bagi meringankan tekanan awal yang dihadapi oleh mangsa banjir di Perlis, selaras dengan konsep Community Based Disaster Management (CBDM) yang menekankan peranan komuniti sebagai barisan terhadapan membantu mangsa.
Peruntukan khas bagi melaksanakan inisiatif itu disalurkan oleh MAIPs, manakala pihak pengurusan masjid dan rumah amil di seluruh negeri bersama-sama sokongan kariah bergotong-royong menyediakan makanan tambahan untuk mangsa yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Menurut MAIPs, usaha tersebut digerakkan sepenuhnya melalui kerjasama jawatankuasa masjid dan para jemaah yang berkhidmat secara sukarela menyediakan sarapan, makan tengah hari dan makan malam kepada mangsa banjir.
Program berkenaan mendapat perhatian apabila Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan meninjau pengoperasian Dapur Cakna MAIPs di Masjid al-Mursyid, Guring dan Rumah Amil Kampung Behor Mempelam, baru-baru ini.
Baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, YAM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Dalam titahnya, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dikompromi walaupun ketika situasi bencana yang memerlukan tindakan segera.
“Walaupun penyediaan makanan dilakukan secara tergesa-gesa untuk memenuhi keperluan mangsa yang ramai, prinsip keselamatan makanan tetap perlu dipatuhi.
“Perkara ini termasuk lokasi penyediaan, kebersihan peralatan, pengendalian bahan mentah, suhu masakan, serta kaedah pembungkusan bagi memastikan kesihatan mangsa terpelihara dan mengelakkan risiko keracunan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua kariah masjid yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penyediaan makanan di bawah program tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar usaha murni itu terus diperkukuh dan dipertingkatkan, sekali gus menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.
“Semangat kesukarelawanan dan kebersamaan yang ditonjolkan bukan sahaja mengurangkan tekanan mangsa, malah mengukuhkan ukhwah serta memperlihatkan kekuatan komuniti ketika berdepan dugaan,” titah baginda.