Diterbitkan pada 27 November 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kecerdasan buatan (AI) ialah teknologi yang membolehkan mesin atau sistem komputer meniru atau menggabungkan kemampuan manusia, seperti memahami bahasa, membuat keputusan, meramal, mengesan corak dan bertindak balas berdasarkan data yang diberikan kepada mesin tersebut.

Dari sudut Islam, penggunaan AI dianggap harus selagi tidak melanggar hukum syariah. Prinsip umum dalam Islam menyatakan asal sesuatu dalam perkara yang bukan ibadah ialah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan keharaman perkara tersebut.

Namun begitu, penggunaan AI juga membawa risiko baharu yang tidak pernah terjadi pada abad terdahulu, seperti fitnah yang berleluasa, penggunaan dan penyebaran maklumat yang salah serta penyalahgunaan data. Oleh itu, Islam mengajar kita agar lebih berhati-hati dan menegakkan batas syariah ketika menggunakan teknologi ini.

Aplikasi AI dalam Kewangan Islam
Satu daripada bidang yang memperlihatkan AI berkembang paling cepat ialah bidang kewangan Islam. Antara contoh pengaplikasiannya termasuklah:

1. Pemantauan dan pematuhan syariah.
AI membantu bank dan institusi kewangan Islam membuat penilaian tentang kepatuhan syarikat atau produk kewangan terhadap prinsip syariah. Misalnya, menyaring sektor perniagaan yang diharamkan seperti arak dan judi, serta mengesan elemen riba dan gharar dalam laporan kewangan dan kontrak. Perkara ini dapat dilakukan dengan bantuan AI yang berperanan mengimbas dokumen berkaitan dalam masa beberapa minit sahaja.

2. Perkhidmatan robo-penasihat islamik.
Platform ini menggunakan algoritma untuk mencadangkan jenis pelaburan yang patuh syariah sesuai dengan profil risiko pelabur. Robo-penasihat islamik ini membolehkan pelaburan kecil atau sederhana diurus dengan baik tanpa perlu berjumpa para penasihat pelaburan secara fizikal. Aplikasi ini berfungsi dengan menggunakan data terdahulu dan data terkini, membuat ramalan dan corak pelaburan yang dirasakan sesuai dan terbaik, dan mencadangkannya kepada pelabur sesuai dengan profil risiko mereka. Proses ini menjimatkan masa pelabur daripada melakukan keseluruhan proses ini secara manual.

3. Pengesanan penipuan dan keselamatan data.
Sistem AI yang mampu untuk mengimbas pelbagai data pada satu-satu masa berkemampuan untuk melihat corak urus niaga yang luar biasa, sebarang urus niaga yang meragukan atau penggunaan data yang mungkin menyalahi undang-undang syariah. Hal ini membantu bank Islam dan teknologi kewangan menjaga reputasi mereka sekali gus melindungi pelanggan.

4. Penilaian risiko yang lebih berkesan.
Melalui pembelajaran mesin, institusi kewangan dapat meramal sebarang risiko kredit, kegagalan projek atau situasi pasaran yang merugikan sebelum kejadian tersebut berlaku berdasarkan data terdahulu dan sedia ada. Selain itu, AI membantu mengurangkan risiko gharar kerana membuat ramalan dan analisis menggunakan data yang besar dan pelbagai.

5. Inklusif kewangan.
AI membolehkan capaian kewangan yang lebih meluas bagi golongan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian seperti usahawan kecil, penduduk luar bandar dan individu tanpa sejarah kewangan. Contohnya, skor kredit alternatif, aplikasi kewangan digital dan perkhidmatan kewangan islamik yang mudah digunakan melalui telefon pintar.

Aplikasi AI dalam Bidang Lain dalam Dunia Islam
Selain kewangan, AI juga sudah digunakan dalam beberapa bidang lain yang berkait dengan Islam seperti yang berikut:

1. Etika dan fatwa digital.
Kewujudan sistem bot sembang atau sistem tanya dan jawab yang menggunakan AI bagi menjawab persoalan yang berkaitan fiqh atau syariah. Walaupun begitu, sistem ini masih perlu diurus dengan lebih hati-hati agar jawapan yang diberikan benar-benar berdasarkan ilmu yang hakiki dan tidak menyesatkan.

2. Jejak halal dalam rantaian bekalan.
AI bersama-sama teknologi baharu seperti blok rantai dapat membantu memastikan produk halal datang daripada sumber primer sehingga kepada pengguna, tanpa ada campur tangan bahan atau proses yang boleh membatalkan status halal produk tersebut.

3. Penterjemahan, bantuan ibadah dan pelancongan.
Aplikasi masa solat, arah kiblat dan juga panduan untuk pelancong Muslim seperti tempat solat dan restoran yang menyajikan makanan halal. AI membantu menjanakan maklumat masa nyata, terjemahan bahasa dan memudahkan proses komunikasi.

Memimpin AI Islamik
Di Malaysia, beberapa inisiatif dan rangka kerja yang menggabungkan AI dalam kerangka Islam sedang giat dijalankan. Sebagai contoh, Kerajaan Malaysia mengumumkan rangka kerja kerjasama bagi membangunkan AI yang patuh syariah bersama-sama dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan syarikat teknologi seperti Zetrix AI.

Selain itu, melalui National AI Roadmap 2021 ‒ 2025 dan MyDigital Blueprint, Malaysia menyasarkan pertumbuhan ekonomi digital yang tinggi dan menjadikan kewangan Islam sebagai pemangkin. Peruntukan dana dan pembangunan bakat juga menjadi fokus agar negara mempunyai pakar yang memahami aspek teknologi AI dan prinsip Islam.

Cabaran yang Perlu Dihadapi
Walaupun AI membuka banyak peluang baharu untuk diterokai, terdapat juga cabaran yang perlu diatasi agar aplikasi AI dalam dunia Islam boleh dilaksanakan dengan selamat dan bermanfaat, misalnya:

1. Ketelusan dan bias algoritma.
Algoritma AI kadangkala atau pada kebanyakan masa akan berat sebelah atau membuat keputusan yang sukar difahami oleh manusia. Dalam Islam, setiap keputusan mestilah adil dan bebas daripada sebarang unsur diskriminasi.

2. Pengurusan data dan kerahsiaan.
Data pelanggan merupakan sesuatu yang amat sensitif. Kegagalan melindungi data pelanggan boleh membawa kepada kebocoran, penyalahgunaan atau pelanggaran hak asasi. Dalam Islam, amanah dan kebertanggungjawaban merupakan antara perkara yang amat dituntut ketika menjalankan sesuatu tugas.

3. Kekurangan pakar yang mempunyai dua kepakaran (AI dan syariah).
Memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknologi serta pemahaman mendalam terhadap syariah agar setiap keputusan yang dibuat tidak tersasar daripada landasan agama.

4. Peraturan dan piawaian syariah yang jelas.
Definisi sesuatu yang patuh syariah kadangkala berbeza-beza mengikut negara atau pandangan ulama. Dalam penggunaan AI, terdapat keperluan untuk mempunyai kerangka kerja dengan garis panduan tertentu yang jelas agar semua pihak yang berkepentingan baik bank, teknologi kewangan dan syarikat pemula dapat merujuk garis panduan tersebut dengan penuh keyakinan.

5. Potensi salah guna.
Penggunaan teknologi seperti palsu asli (deepfake), penyebaran maklumat palsu, pengaruh buruk sosial atau teknologi yang boleh menyakiti keselamatan dan keharmonian masyarakat bertentangan dengan prinsip Islam dan perlu dikawal sepenuhnya.

Kesimpulannya, AI dalam dunia Islam bukanlah ancaman jika digunakan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah, serta disulami ilmu dan kesedaran. AI boleh menjadi pembantu yang memberikan manfaat yang besar untuk meningkatkan kebajikan manusia, memperluas keadilan dan memajukan masyarakat dalam kerangka syariah.

Untuk memperkukuh penggunaan AI dalam kalangan masyarakat Malaysia, beberapa langkah penting perlu diambil. Antaranya termasuklah mewujudkan kurikulum pendidikan dan latihan khusus yang menggabungkan aspek AI dan syariah, serta merangka kerangka kerja yang lebih formal pada peringkat negara dan antarabangsa.

Selain itu, kerjasama yang erat dalam kalangan ulama, pakar saintis komputer, penggubal dasar dan pemain industri teknologi amat diperlukan bagi memastikan perkembangan yang seimbang. Pelaburan dalam teknologi AI berteraskan Islam, termasuk infrastruktur serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu digiatkan untuk meneroka potensi AI yang lebih luas dan bermanfaat kepada ummah.

Semoga negara Islam akan terus bergerak maju dalam penggunaan AI yang bukan sahaja yang akan memberikan manfaat secara teknikal, bahkan melonjakkan nilai Islam seperti keadilan, rahmah, amanah dan kebaikan bersama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi