Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lawatan kerja Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Afrika Selatan dari 20 hingga 23 November 2025 lalu berupaya memperkukuh kerjasama strategik Malaysia–Afrika Selatan, khususnya dalam pengurusan halal, pembangunan kapasiti dan inovasi industri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Dr. Setia Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global, malah menyokong agenda pembangunan ekosistem halal dunia secara mampan dan terangkum.
“Hubungan antara Malaysia dengan Afrika Selatan dalam bidang halal telah lama terjalin melalui pengiktirafan tiga badan pensijilan halal luar negara oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu National Independent Halaal Trust (NIHT) di Johannesburg, South African National Halaal Authority (SANHA) di Kwazulu Natal dan Muslim Judicial Council Halaal Trust (MJCHT) di Cape Town,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi beliau pada Sabtu.
Tambah beliau, pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan bagi memperluas jaminan halal pada peringkat global.
Menurut Mohd Na’im, JAKIM komited berkongsi kepakaran melalui pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran dan perkongsian ilmu demi menyokong kelestarian ekosistem halal dunia, selaras aspirasi Malaysia memperkukuh rangkaian halal antarabangsa.
Sementara itu, lawatan kerja Perdana Menteri ke Republik Afrika Selatan adalah atas jemputan Presiden negara itu, Tuan Yang Terutama (TYT) Matamela Cyril Ramaphosa merangkap Presiden Kumpulan 20 (G20) 2025, bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Kumpulan G20 di Johannesburg.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengadakan sesi libat urus bersama-sama pimpinan Islam setempat bagi membincangkan kerjasama memperkasakan pembangunan ummah pada peringkat global.