Diterbitkan pada 22 November 2025, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati jemaah haji perlu mencukupkan simpanan minimum sebanyak RM15,000 dalam akaun TH masing-masing untuk melayakkan menerima tawaran haji atau untuk membuat rayuan haji.

Tabung Haji menggalakkan semua bakal jemaah haji menyimpan secara berkala dan sistematik sejak awal dan sentiasa menjaga kesihatan kendiri bagi mempersiapkan diri untuk melengkapkan rukun Islam kelima mereka.

Menurut TH, liputan berita mengenai penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus merujuk data pada musim haji yang lepas, iaitu musim haji 1446H/2025M.

“Analisis terhadap jumlah penolakan pada musim haji 1446H/2025M yang lepas mendapati jumlah penolakan terutamanya berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang rendah,” ujar TH dalam kenyataan, hari ini.

Bagi musim haji 1447H/2026M yang akan datang, TH telah menggiatkan usaha, antaranya termasuklah membuat peringatan berkala seawal Ogos 2025 kepada semua bakal jemaah haji musim 1447H/2026M untuk membuat persediaan secukupnya dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.

Langkah proaktif yang merupakan sebahagian daripada inisiatif peremajaan jenama TH tersebut telah menunjukkan hasil yang baik setakat ini.

Tawaran haji bagi musim 1447H/2026M kepada jemaah masih lagi dikeluarkan secara berperingkat ketika ini.

Kadar penolakan tawaran haji bagi musim haji 1447H/2026M akan datang didapati lebih rendah berbanding dengan tahun sebelumnya kesan peringatan awal oleh TH dan kempen simpanan berterusan kepada bakal jemaah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi