Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Majlis Perasmian Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga dan Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) 2025 diadakan bertujuan memperkukuh semangat ta‘awun atau kerjasama dalam gerakan dakwah.
Titah baginda, majlis tersebut menjadi platform perbincangan dan pertukaran ilmu sesama para ilmuwan Islam daripada pelbagai bidang, serta mengukuhkan jalinan strategik antara institusi keagamaan rantau Nusantara dengan Afrika.
“Melalui usaha seumpama ini, semangat persaudaraan Islam diharap dapat terus disemarakkan.
“(Hal yang demikian) sekali gus memperkasakan misi dakwah sejagat yang berteraskan rahmat, keadilan dan perpaduan umat,” titah baginda dalam majlis tersebut, baru-baru ini
Bertemakan “Ta‘awun dalam Dakwah: Antara Persamaan dengan Perbezaan”, majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan diadakan di Kompleks Seri Putra, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah YBhg. Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.
Para peserta dari benua Afrika yang hadir ialah Mufti Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya; Jawatankuasa Islam Ethiopia, Profesor Ademi Kamil Faris; Pusat Islam Windhoek Namibia, Dr. Ahmad Cheikhyoussef dan Pengurus Jabatan Zakat dan Wakaf Kenya Red Cross, Rufae Abdullahi.
Majlis itu menghimpunkan sebanyak 23 orang anggota Majlis Ilmuwan Nusantara serta empat orang anggota Nusantara–Africa Scholars Summit 2025.
Anggota Majlis Ilmuwan Nusantara terdiri daripada 10 orang peserta dari Malaysia, lapan orang peserta dari Indonesia, dua orang peserta dari Thailand, seorang peserta dari Kemboja, dua orang peserta dari Singapura, serta masing-masing seorang peserta dari Ethiopia, Namibia, Rwanda dan Kenya.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan bahawa Islam merupakan agama yang menyeru umatnya agar sentiasa bekerjasama untuk mengajak kepada kebaikan serta pada masa yang sama mencegah segala bentuk kemungkaran yang bertentangan dengan prinsip Islam.
Titah baginda, dalam merealisasikan hasrat yang murni ini, umat Islam perlu bersatu hati dan berganding bahu tanpa mengira bangsa mahupun sempadan negara.
“Segala gerakan dakwah Islam berkongsi satu matlamat sejagat, iaitu menegakkan kesucian tauhid, menyebarkan ilmu serta akhlak mulia, dan menyatukan umat di bawah panji keadilan serta rahmat Islam,” titah baginda.
Matlamat yang luhur ini berpaksikan al-Quran dan sunah. Kedua-duanya menjadi jambatan yang menyatukan umat Islam walaupun berbeza-beza bangsa, negara dan latar belakang mazhab.
“Dengan kesatuan hasrat dan matlamat ini, penyebaran dakwah Islam dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan melangkaui sempadan negara dan benua melalui kerjasama dakwah bertaraf global,” titah baginda.