Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Islamic Tourism Centre (ITC) menegaskan bahawa Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) merupakan pengiktirafan produk dan perkhidmatan pelancongan yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut ITC, MFAR diperkenalkan bagi mengiktiraf produk pelancongan mesra Muslim termasuk penginapan, agensi pelancongan, serta premis spa dan kesejahteraan yang mematuhi garis panduan dibangunkan oleh pihaknya.
Katanya, tujuan utama MFAR adalah untuk menyediakan pengalaman pelancongan yang selesa, selamat dan berteraskan prinsip Islam bagi pelancong Muslim.
“Inisiatif ini menetapkan standard yang jelas dan tinggi untuk sektor pelancongan dan hospitaliti dari segi penyediaan ruang solat, makanan halal, keselesaan pelancong dan lain-lain,” jelas ITC dalam kenyataan, baru-baru ini.
Tambahnya, aspek makanan dan minuman di premis pelancongan diberikan penekanan khusus dengan mewajibkan sijil pengesahan halal daripada pihak berkuasa berwibawa.
Menurut ITC, standard tinggi yang diterapkan dalam program MFAR turut memberikan manfaat kepada pelancong bukan Muslim yang menghargai pengalaman pelancongan berteraskan nilai murni dan kesejahteraan.
“MFAR bukan sebuah badan pengesahan status halal dan tidak bertujuan untuk menggantikan sijil pengesahan halal.
“MFAR dibangunkan untuk melengkapkan standard dan pensijilan yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Standard Malaysia untuk mengiktiraf perniagaan pelancongan yang menghormati keperluan pelancong Muslim,” jelasnya.
ITC turut menegaskan bahawa JAKIM kekal sebagai satu-satunya badan pensijilan halal Malaysia dan pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan jabatan tersebut.
Pelaksanaan MFAR dijalankan secara berstruktur melalui pembangunan garis panduan, penyediaan kursus, pematuhan, pengauditan dan pengesahan panel yang turut melibatkan JAKIM serta agensi yang berkaitan pada setiap peringkat.
Sebagai agensi di bawah MOTAC sejak 2009, ITC menyatakan iltizam untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang diyakini.
ITC menyeru orang ramai mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.