Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 akan dilaksanakan pada 12 November hingga 24 November 2025.
Menurut KPM, sebanyak 4443 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2025 di 135 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak 852 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM Tahun 2025 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP),” kata KPM dalam kenyataan, hari ini.
Tambah KPM, “Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.”
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2025,” ujarnya.
Pada masa yang sama, KPM cakna akan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan STAM Tahun 2025 berlangsung.
KPM bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana,” jelas KPM.