Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diiktiraf secara rasmi di negara ini.
Penegasan itu dibuat susulan pengenalan pengiktirafan “Muslim Choice” (Pilihan Muslim) oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Muslim Friendly Watch (MFW), yang mendakwa memberikan pengiktirafan kepada premis atau produk mesra Muslim.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, walaupun tujuan pertubuhan itu mungkin baik untuk mempromosikan produk yang bersih dan berkualiti, penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” boleh mengelirukan masyarakat.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa pengiktirafan seperti ini bukan suatu perakuan halal rasmi daripada pihak berkuasa.
“Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah beliau, sebarang logo, simbol, istilah atau kenyataan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam, jika dikeluarkan oleh pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah dan boleh menjejaskan integriti sistem persijilan halal negara.
JAKIM turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan atau memaparkan sebarang bentuk logo, simbol atau istilah yang menyerupai pengiktirafan halal tanpa pengesahan rasmi daripada agensi berwibawa itu.
“Langkah ini penting bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim dan memastikan produk yang dipasarkan benar-benar menepati piawaian halal yang ketat,” jelas beliau.
Sebelum ini, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak MFW, iaitu pada 23 Ogos 2024 bagi mendapatkan penjelasan mengenai pengiktirafan tersebut dan menasihati pertubuhan itu agar tidak menjalankan aktiviti yang boleh disalah tafsir oleh masyarakat.
Walau bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.