Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – “Kenyataan media Yang Berhormat (YB) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung dengan penegasan Malaysia untuk tidak berkompromi terhadap standard halal jelas mencerminkan pendirian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menegakkan dan mempertahankan integriti sistem pensijilan halal negara. Sebarang dakwaan bahawa Malaysia berkompromi terhadap standard halal adalah tidak benar dan tidak berasas.”
Demikian kenyataan media yang dikeluarkan oleh JAKIM berkenaan dengan keutuhan dan integriti Standard Halal Malaysia kekal terjamin, semalam.
Menerusi kenyataan media tersebut, JAKIM beriltizam penuh demi memastikan sistem pensijilan halal Malaysia terus menjadi penanda aras global, sentiasa menepati prinsip syariah serta diterima pakai oleh negara Islam dan bukan Islam.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, semua perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Malaysia hanya berkuat kuasa setelah diterjemahkan ke dalam undang-undang domestik bagi memastikan kepentingan syariah, standard halal dan keselamatan pengguna terus terpelihara.
Dalam konteks ini, Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan kedaulatan, keutuhan dan kredibiliti standard halal negara.
Jelasnya lagi,
JAKIM akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi bagi memastikan semua produk halal, sama ada tempatan atau import mematuhi Standard Halal Malaysia sepenuhnya.
Selain itu, Malaysia hanya mengiktiraf sijil halal daripada badan pensijilan luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat selepas melalui proses audit menyeluruh mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production. Penilaian ini mesti dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua pegawai syariah dan laporan audit diperakukan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh JAKIM.
Jelas Ketua Pengarah JAKIM lagi, semua badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM dikehendaki mematuhi sepenuhnya semua standard dan piawaian yang ditetapkan Malaysia termasuk menepati aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa pengecualian.
Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan sijil halal luar negara tidak bermakna kelonggaran terhadap standard halal Malaysia. Sebaliknya, hanya melancarkan urusan pentadbiran dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.
Semua produk import tetap tertakluk pada penilaian pihak JAKIM, pemantauan berkala serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi memastikan integriti, ketelusan dan ketegasan sistem halal negara terus terpelihara.